Misha Omar Mahu Permohonan Maaf Secara Berdepan Isu Sebar Fitnah
Penyanyi popular Misha Omar menyatakan dirinya bertegas agar pihak yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya supaya membuat permohonan maaf secara berdepan.
Misha, 37, menerusi peguamnya Abi Mursyid Hj Awal telah memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat semalam di balai polis Kota Damansara dan kemudiannya dilanjutkan ke balai polis Salak Selatan untuk melaporkan satu kenyataan fitnah yang mengaitkan penyanyi itu dengan tindakan khurafat, sihir dan sebagainya bagi memperolehi kemenangan dalam Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL 33) baru-baru ini.
“Rentetan perkara terbabit, Misha Omar telah datang kepada kami untuk mendapatkan nasihat guaman. Oleh itu, satu laporan polis yang komprehensif tentang fakta-fakta pelaku telah dilakukan. Pihak kami juga akan mengambil tindakan susulan setelah dilantik dengan menyampaikan satu surat rasmi kepada suruhanjaya komunikasi untuk menyiasat dengan lebih lanjut tentang kata-kata yang dikeluarkan kepada Misha omar.
“Justeru itu, hari ini kami ingin memaklumkan kepada pelaku-pelaku yang terlibat supaya berhenti berbuat demikian dan jangan sesekali sengaja mengeluarkan sesuatu tindakan yang tidak betul,” jelas peguamnya.
Satu sidang media khas berkenaan penyebaran fitnah terhadap penyanyi berkenaan di media sosial telah diadakan di KL Eco City Mall, Jalan Bangsar hari ini.
Sementara itu, penyanyi itu mengatakan dirinya terpanggil berbuat demikian bagi menjaga nama baik serta reputasinya dalam kerjaya seni daripada terus difitnah.
“Saya bertanggung jawab kepada diri sendiri serta kerjaya yang saya bina dan cintai selama 17 tahun ini. Saya tidak mahu ianya terjejas begitu sahaja disebabkan penyebaran kata-kata yang tidak benar ini.
“Saya terpanggil untuk mencari keadilan untuk diri saya dan mendapatkan nasihat guaman bagi mencari penyelesaian yang terbaik. Perkara ini telah menjadi kes polis dan saya juga telah memberi keterangan berhubung perkara berkenaan. Alhamdulillah… pihak polis beri kerjasama yang baik dan insyaallah mereka akan menjalankan siasatan lanjut,” jelasnya.
Sementara itu, intipati laporan yang dikeluarkan oleh pihak Misha tidak dapat didedahkan sepenuhnya, namun seperti yang dinyatakan ia berhubung dengan fitnah yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab menerusi media sosial Twitter yang kemudiannya dikongsi di Facebook dan disensasikan lagi oleh beberapa individu lain.
Justeru itu, peguam yang mewakili pihak Misha turut memaklumkan bahawa penyanyi terbabit tidak mengenakan atau meminta sebarang jumlah wang ringgit sebagai ganti rugi, sebaliknya cuma permohonan maaf yang tidak bersyarat secara empat mata dengan penyanyi itu sendiri.
Menurut Misha, dirinya meletakkan syarat permohonan maaf secara berhadapan dibuat kerana ingin berjumpa dengan individu-individu terbabit bagi mengetahui dengan lebih lanjut berhubung sebaran fitnah ke atas dirinya itu di media sosial.
Pada masa sama, Misha turut memaklumkan perkara ini juga merupakan salah satu tindakan sosialnya bagi mendidik masyarakat agar tidak menyalahgunakan media sosial.
Oleh itu, tindakan lanjut akan diambil sekiranya individu-individu terbabit tidak melakukan sebarang permohonan maaf dalam tempoh stujuh hari bermula hari ini dan penyanyi itu kemudian mempunyai kebebasan untuk menfailkan hal tersebut ke mahkamah. – KopiPlanet.com
Artikel oleh : Fatin & Syafiqah
Pelajar Praktikal Uitm Puncak Perdana
The post Misha Omar Mahu Permohonan Maaf Secara Berdepan Isu Sebar Fitnah appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: