Semalam Sahaja Platform Ezuwan Ismail Promosi Fesyen Menerusi Muzik
Pereka fesyen tempatan Mohd Ezuwan Ismail atau Ezuwan Ismail mengakui sesungguhnya single terbaharu berjudul Semalam Sahaja adalah salah satu platform untuk mempromosikan rekaan fesyen dalam bidang industri muzik.
Menurut pereka fesyen berusia 37 tahun itu, penyatuan antara fesyen dan muzik tidak dapat dipisahkan dalam dirinya sejak dari bangku sekolah.
“Sebenarnya, bidang seni muzik ini menjadi satu cabang yang sudah pasti akan meluaskan empayar rekaan fesyen saya di mata masyarakat.
“Saya mula meminati bidang nyanyian sejak kecil lagi, tetapi tidak kesampaian untuk berkongsi bakat pada masa itu. Malah, saya mempunyai karier dalam industri fesyen,” kata Ezuwan kepada KopiPlanet.com
Ezuwan ditemui majlis pelancaran single terbaharu Semalam Sahaja dan memperkenalkan kumpulan trio E1 yang berlangsung di Butik Ezuwan Ismail Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas mengenai pelakon jelita Rozita Che Wan telah memuat naik Insta Story mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran baru-baru ini, Ezuwan enggan ambil pusing mengenainya.
“Saya tidak kisah dengan kritikan tentang suara saya seperti tercekik sudu kerana semua orang ada hak untuk bersuara dalam memberi pendapat.
“Jika benar kenyataan itu ditujukan kepada E1 saya terima dengan hati terbuka dan akan cuba memperbaiki diri saya. Jangan terus menghakimi saya, lihat dahulu sebelum menilai. Saya percaya setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya.
Selain Ezuwan, kumpulan trio E1 turut dianggotai oleh Zulyasrani dan Ariff Imran yang telah ditubuhkan pada 18 November 2018.
Sementara itu, E1 bakal mengeluarkan lagu raya hasil kerjasama dengan komposer generasi lama di tanah air. – KopiPlanet.com
Artikel : Syafiqah Othman
Pelajar praktikal : UiTM Puncak Perdana
The post Semalam Sahaja Platform Ezuwan Ismail Promosi Fesyen Menerusi Muzik appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: