Ads Top

Untuk Kalian Yang Baik Hati, Terima Kasih!

Saya memegang buku bertajuk Like A Flowing River tulisan Paulo Coelho apabila bas yang saya naiki melalui satu jalan. Di sebelah kanan terlihat para pekerja tapak binaan sedang gigih bekerja menyiapkan bangunan dari jauh.

Ia pemandangan yang sama saya lihat sepanjang lima bulan saya berulang alik ke tempat kerja. Sebelum ini saya hanya memandang dengan pandangan biasa. Tetapi hari ini sedikit berbeza.

Mungkin kerana cerita yang saya baca dari buku yang berada di tangan saya ini – tentang rangka manusia yang ditemui mati di sebuah bangunan usang pada tahun 2004, lengkap berbaju tidur. Apa yang menyayat hati, rangka itu ditemui setelah 20 tahun! Di dalam bilik itu terdapat kalendar bertarikh 20 Februari 1984. Tidak ada orang yang menyedarinya. Tidak ada yang mempeduli.

Saya memandang pekerja-pekerja tapak binaan yang sedang gigih membanting tulang. Bangunan yang ingin disiapkan itu besar kemungkinan mengambil masa beberapa tahun. Segenap fokus dan perhatian mereka setiap hari pasti ditumpukan kepada usaha membina bangunan.

Saya berfikir jika mereka mempunyai pilihan yang lebih mudah, pasti mereka juga tidak mahu bersusah payah bekerja di bawah panas terik matahari – setiap hari.

Selain daripada ingin mengisi perut sendiri, alasan lebih besar di sebalik usaha tersebut boleh jadi kerana adanya keluarga dan anak-anak yang perlu diberi makan di rumah. Mungkin ada keluarga sakit di kampung yang memerlukan wang belanja setiap bulan. Pendek kata, sebahagian besar fokus hidup mereka adalah untuk orang lain, untuk orang di bawah tanggungan mereka.

Saya tertanya-tanya – bagi orang-orang sebegini, adakah ada dalam sehari, masa untuk mereka memikirkan tentang diri sendiri. Untuk orang-orang yang sering menjaga dan mengambil berat tentang orang lain terlebih dahulu berbanding diri sendiri, siapa pula yang akan mengambil berat tentang mereka?

Jika kita amati di sekeliling kita, pasti kita akan menjumpai insan berhati mulia seperti ini. Mereka yang kerap bertanya adakah kita sihat, adakah sudah makan, bagaimana keluarga di kampung.

Mungkin mereka ialah rakan sekerja yang kerap membelanja, yang selalu bertanya adakah ingin mengirimkan apa-apa makanan, yang tidak lokek berkongsi apa-apa yang dibeli. Kadang-kadang kita mengambil ringan dengan tindakan-tindakan kecil sebegini. Kita mengambil mudah – kerana kita terbiasa.

“Dia memang macam tu”

Sesekali berilah penghargaan dengan ucapan terima kasih, dengan menawarkan pertolongan, atau membalas kebaikan dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya orang yang diberi hati sebegini umpama matahari yang menceriakan hari kita – yang akan membuatkan hati kita hangat dengan kebaikan mereka.

Untuk kalian yang baik hati, terima kasih!




No comments:

Powered by Blogger.