Ads Top

Terkorban Kerana Kepercayaan Mistik

Saya pernah menerima satu kes hasil bedah siasat seorang perempuan muda berusia lingkungan awal 20-an yang baru beberapa bulan melahirkan bayi pertama mereka.

Sebelum proses bedah siasat, saya menemubual suami arwah berkaitan sejarah penyakit dan penyakit terkini. Katanya, si isteri tidak mempunyai sebarang penyakit kronik ataupun kritikal.

Beberapa minggu sebelum kematian, kesihatan arwah sedikit demi sedikit terjejas. Beliau mengalami demam berpanjangan.

Tubuh menjadi lemah dan tidak bermaya. Kesusutan berat badan dengan banyak. Selera makan berkurangan. Arwah juga kelihatan murung, menyendiri dan tidak ceria.

Suami dan keluarga telah mengambil inisiatif dengan membawa arwah berjumpa dengan ustaz dan juga beberapa pengamal perubatan alternatif.

Rata-rata mereka memberikan penjelasan yang hampir sama. Si mati telah didampingi oleh gangguan mistik yang menyebabkan perubahan pada sikap dan tahap kesihatannya.

Beberapa kali mereka membawa arwah berubat, namun keadaanya tidak banyak berubah. Bahkan, arwah menjadi bertambah teruk.

Kemuncak kepada ini, arwah mula meracau-racau, bertindak agresif dan gagal untuk menjaga bayi yang baru berusia beberapa bulan itu.

Pihak keluarga telah membawa arwah ke hospital dan beliau telah dimasukkan ke wad. Arwah dirawat sebagai ‘Post Partum Depression’ lebih kurang gila meroyan. Beliau diberikan ubat dan dimasukkan air sebagai supplements.

Walaubagaimanapun, arwah sempat mendapatkan rawatan hospital kurang 2 hari dan keluarga memutuskan untuk membawanya pulang bagi meneruskan rawatan dengan ‘ustaz’

Beberapa hari selepas itu, beliau sudah berada di atas meja bedah siasat saya. Saya tanpa prejudis telah bertanyakan kepada suami, bagaimanakah perasaan beliau terhadap kematian isteri semasa mendapatkan rawatan perubatan alternatif?

Beliau kelihatan tenang dan reda, mengatakan bahawa ini adalah takdir dan penyakit arwah memang tidak dapat disembuhkan.

Saya berasa terkilan terhadap perjalanan kes ini. Terkilan bukan kerana beliau membelakangkan rawatan moden dan berjumpa ‘ustaz’.

Rawatan moden pun tiada jaminan sembuh 100% bahkan saya sudah benarkan ramai pesakit yang mengambil risiko untuk keluar hospital bagi mendapatkan rawatan alternatif, lebih-lebih bagi penyakit batu karang, sakit sendi ataupun patah tulang.

Dalam kes ini, saya terkilan kerana arwah tidak dapat membuat keputusan sendiri mengenai rawatan yang diperlukannya, tetapi keputusan dibuat olah suami dan keluarga. Si anak yang masih bayi kehilangan si ibu tanpa sempat merasa kasih sayangnya.

Saya juga terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab pengamal perubatan alternatif yang begitu berani mengendalikan pesakit yang ternyata bukan dalam bidang pengetahuan mereka

Bahkan, menaburkan fakta-fakta yang diragui kesahihannya. Akhirnya, laporan bedah siasat mendedahkah jangkitan kuman di selaput otak (meningitis).




No comments:

Powered by Blogger.