Ads Top

AJL 33: Hael Tiada Tekanan, Hanya Nak Buat Yang Terbaik

Pemenang utama Anugerah Juara Lagu ke-32, Hael Husaini berkata dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk dua lagu nyanyiannya, Hajat dan Haram yang akan bersaing pada malam kemuncak AJL 33 yang bakal berlangsung pada 3 Februari ini.

Menurut Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 32, dia enggan terlalu memikirkan mengenai perkara itu sebaliknya hanya ingin memberikan yang terbaik pada malam itu.

“Kalau masuk mana-mana pertandingan saya memang tidak meletakkan sebarang misi atau harapan nak memang tetapi yang pasti saya akan cuba menyampaikan sehabis baik pada malam itu nanti.

“Setakat ini, semua persiapan berjalan lancar. Saya menitikberatkan daripada sudut vokal begitu juga persembahan. Untuk latihan vokal, saya masuk kelas Datuk Syafinaz Selamat untuk mantapkan lagi suara,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Hael ditemui pada majlis sidang media Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) yang berlangsung di Hotel Empire, Subang Jaya baru-baru ini.

Mengakui gementar namun Hael cuba untuk tidak terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut dan hanya enjoy dengan persembahan yang bakal dijayakannya.

“Sudah tentu ada rasa gementar tapi saya tak suka terlalu ‘overthinking’. Kalau boleh saya suka mengelak daripada berada dalam keadaan tekanan dan hanya nak berikan persembahan terbaik.

“Saya pasti semua rakan-rakan finalis pun mempunyai misi yang sama untuk sama-sama memberikan persembahan yang boleh diingati semua penonton apabila mereka menonton AJL 33 nanti,” katanya.

Pada malam kemuncak itu, Hael akan mendendangkan lagu Hajat dan Haram duet bersama Dayang Nurfaizah. Lagu gubahan Hael iaitu Nisan Cinta nyanyian Siti Nordiana dan Jaclyn Victor turut bersaing pada malam anugerah berprestij itu.

AJL 33 bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Februari ini. Ia akan disiarkan secara langsung menerusi TV3. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.