Terimalah Teguran Walaupun Sepahit Kopi
Ketika hati sedang leka dengan dunia, ada insan lain yang menegur diri. Jangan terlalu bersuka ria dengan dunia kerana dunia sifatnya sementara.
Hati yang sedang dibuai angin tipu daya fatamorgana kadang tidak dapat menerima teguran dan nasihat walau ia benar dan tidak salah. Tetapi kerana ego yang membelenggu diri, diri membalas balik dengan kata yang menyakitkan hati kepada si penegur itu.
Setelah puas menghamburkan kata yang tidak enak didengari, diri meninggalkan si penegur tadi. Terasa lega di hati, namun hakikatnya salah dan sesak di jiwa rohani. Terasa serba salah mengungkap kata yang tidak baik.
Dia menegur untuk kebaikan diri kita. Bukan kerana dia ‘alim-alim kucing’. Bukan juga untuk menunjuk dirinya terlalu baik. Sebenarnya kita semua sama. Kita hamba berdosa. Layak ditegur dan boleh menegur orang lain jika ada kesalahan.
Kita harus kembali kepada asal iaitu kita semua adalah hamba Allah S.W.T. Hamba yang digelar sudah cukup untuk menunjukkan kita adalah lemah dan tidak mempunyai kekuatan yang sempurna.
Hamba yang perlu ditegur dan diberi tunjuk ajar. Hamba yang tidak lepas dari dosa dan dari melakukan kesilapan.
Hamba yang saling memerlukan pertolongan dan bantuan dari orang lain. Hamba yang selalu memerlukan nasihat dari insan lain. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”Surah Yunus 10:57
Nabi Muhammad S.A.W Juga Ditegur Allah
Menurut riwayat yang disampaikan oleh Ibnu Jarir ath-Thabari, demikian juga riwayat dari Ibnu Abi Hatim, yang diterima dari Ibnu Abbas.
Sedang Rasulullah menghadap beberapa orang terkemuka Quraisy, iaitu Utbah bin Rabi’ah, Abu Jahal, Abbas bin Abdul Mutalib, dengan maksud memberi keterangan kepada mereka tentang Islam, supaya mereka sudi beriman; di waktu itu masuklah seorang lelaki buta yang bernama Abdullah bin Ummi Maktum. Dia masuk ke dalam majlis dengan lengan yang meraba-raba.
Sejenak Rasulullah S.A.W terhenti berbicara, orang buta itu memohon kepada Nabi S.A.W supaya diajarkan kepadanya beberapa ayat al-Quran. Mungkin kerana terasa terganggu ketika menghadapi pemimpin-pemimpin Quraisy.
Kelihatan wajah Nabi S.A.W masam menerima permintaan Ibnu Ummi Maktum itu, sehingga perkataan orang itu seakan-akan tidak baginda dengari, baginda terus juga menghadapi pemimpin-pemimpin Quraisy tersebut. Setelah selesai kesemuanya, turunlah ayat ini;
“Dia bermuka masam dan berpaling.”Surah ‘Abasa : 1
Tahulah Rasulullah bahawa Allah S.W.T telah menegur tentang sikapnya yang bermasam muka dengan Ibnu Ummi Maktum.
Kisah ini menjadi pengajaran kepada kita bahawa Nabi Muhammad S.A.W juga ditegur. Yang menegur itu adalah Allah S.W.T. Teguran itu bukan merendahkan martabat baginda tetapi sebagai peringatan dan pesanan untuk kita bersama.
Nabi Muhammad S.A.W ingin berdakwah kepada pemimpin-pemimpin besar Quraisy, disebabkan itu baginda tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan kebenaran. Di saat yang sama, kedatangan Ibnu Ummi Maktum yang buta.
Walau dia seorang yang buta dan tidak nampak perbuatan Nabi S.A.W, Allah S.W.T tetap memberi teguran yang penting sehingga turunnya Surah ‘Abasa.
Pentingnya Teguran
Menegur demi kebaikan adalah perbuatan yang dituntut. Menegur dan memberi nasihat itu bukan untuk menyalahkan tetapi mendidik.
Mendidik orang yang ditegur supaya tidak terbabas dan terlepas dari landasan yang benar. Tidak membiarkan orang yang ditegur itu terus terjebak dalam kancah dosa dan maksiat yang disangka kebaikan. Mengharapkan orang yang ditegur kembali kepada Allah S.W.T.
Jika sikap pentingkan diri sendiri dan membiarkan sahaja perbuatan salah orang lain maka akan timbul dan datanglah bencana dalam masyarakat. Segala perbuatan salah yang dianggap betul akan terus dilaksanakan dan tersebar luas di seluruh masyarakat.
Kejahatan yang kecil akan ‘memberanak-pinakkan’ pula menjadi kejahatan yang lebih besar. Disebabkan itulah pentingnya amalan tegur-menegur dalam kehidupan kita.
Cegahlah kemungkaran dan tegurlah mengikut kemampuan masing-masing. Setiap manusia ada kelebihan tersendiri. Jika mampu menulis, tulislah dan beranilah menyampaikan kebenaran.
Jika bijak dalam melukis komik, silalah menghasilkan karya yang menegakkan kebenaran. Sudah berkuasa di tangan, jangan lemah dan takut untuk mengambil tindakan yang betul.
Kesimpulannya, orang yang menegur juga perlu menerima teguran. Orang yang ditegur pula terimalah teguran dengan hati terbuka. Siapa pun kita, kita layak ditegur.
Jika teguran itu membawa kebaikan kepada kita, terimalah dengan rendah hati. Jangan balas dengan keegoan yang langsung tidak membantu malah menganggu.
Bersyukurlah kerana masih ada lagi insan yang menegur kita kerana mereka sayangkan kita bukan membenci kita. Waallahua’lam.
Rujukan:
Tafsir Al-Azhar (Penulis:HAMKA)
No comments: