Ads Top

Melawak Jangan Sampai Merendahkan Akhlak

KECOH di media sosial mengenai respons jelik yang ditinggalkan oleh dua wanita dalam sebuah video viral di laman Twitter baru-baru ini.

Segalanya bermula selepas sebuah video memaparkan seorang pengantin lelaki ‘gugur’ air mata ketika mengucup dahi isterinya.

Video menyentuh perasaan itu menjadi tular dan menerima pelbagai respons di laman Twitter dengan lebih 18,000 ulang kicau.

Bagaimanapun, timbul isu selepas dua wanita berkenaan meninggalkan komen berbaur seksual yang menimbulkan perasaan kurang senang warga Twitter.

Satu kapsyen dimuat naik berbunyi ‘later if my husband cry like this, i k*****k him 5 rounds that night’ (jika suami saya menangis seperti ini, saya k*****k dia 5 kali malam itu) menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dengan sikap terbuka oleh individu berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, satu lagi komen daripada individu berbeza, ‘if my man cry on our wedding day ok beb 10 round i kasi you nanti’ (jika suami saya menangis pada hari perkahwinan kami ok beb 10 kali saya beri pada awak nanti) turut mengundang kecaman netizen.

Komen yang ditinggalkan dua individu berbeza ini mengundang rasa kurang senang netizen di laman Twitter.

Susulan itu, mStar Online mendapatkan pandangan ahli Persatuan Ulama Sedunia, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor mengenai adab dan etika berkomunikasi di sosial media berlandaskan Islam agar batas-batas menjaga maruah dapat dipelihara.

“Apapun, melawak ni ada batasnya. Jangan sampai ia merendahkan akhlak apatah lagi dalam melawak.

“Kalau nak bergurau macam tu dengan suami boleh la. Tapi kalau depan orang ramai, kita ada etika,” ujarnya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambah Ahmad Fauwaz, perbuatan seperti itu akan memberi kesan tidak baik terhadap golongan wanita dan ia jelas bercanggah dengan budaya Melayu dan agama.

“Ini antara budaya yang tidak baik. Bila perempuan tak jaga perkataan dia, orang lelaki akan rasa macam perempuan begitu tak ada nilai. Mereka akan kacau perempuan yang tak reti jaga diri.

“Bila kena kacau, komen buruk pasal kamu, tahu marah pula. Melawak boleh, tapi batasan mesti ada. Tak perlu bergurau dengan bahasa lucah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fauwaz turut berpesan agar pasangan yang sudah berkahwin berpada-pada dan tidak menunjuk-nunjuk hubungan mereka sebagai suami isteri.

Malah, dia berpendapat hubungan dalam ‘kelambu’ harus dirahsiakan untuk mengelakkan fitnah dan rasa kurang senang orang sekeliling.

“Benda-benda yang bersifat peribadi tak sesuai dipamerkan kerana bukan budaya kita. Sekalipun sudah suami isteri, nak bercumbuan pun tak boleh di hadapan orang. Tidak digalakkan.

“Kalau yang uruf (kebiasaan atau tindakan/perbuatan yang disenangi masyarakat) seperti cium tangan tidak mengapa, tapi kalau benda yang dalam bilik tak boleh bawa keluar, berdosa kerana ia menyebabkan orang mengata.

“Biasanya mereka yang bercakap begini tak kawin lagi jadi keinginannya tinggi. Eloklah kahwin awal, selorohnya mengakhiri perbualan,” katanya.

SUMBER:MSTAR




No comments:

Powered by Blogger.