Masjid Rijeka: Karya Agung Pengukir Croatia
Bandar Rijeka, Croatia dikenali dengan bandar yang mempunyai percampuran budaya yang pelbagai. Di sinilah letaknya masjid ketiga Croatia yang dikatakan antara yang tercantik di dunia iaitu Masjid Rijeka.
Bentuknya seakan-akan kubah yang terbenam ke dalam tanah dengan menara berputar ke langit menampilkan nilai futuristik yang mengagumkan sesiapa sahaja yang melihat. Ia merupakan hasil idea asal dari pengukir terkenal Croatia iaitu Dusan Dzamonja. Pembinaannya direalisasikan oleh barisan arkitek hebat iaitu Branko Vucinovic dan Darko Vlahovic.
Masjid yang mempunyai latar belakang indah Teluk Kvarner ini dilengkapi kemudahan dewan serbaguna, kelas pengajian ilmu, bilik perbincangan, perpustakaan, beranda dan juga pusat penjagaan kanak-kanak. Ruang solatnya mampu menempatkan 1,400 jemaah dalam satu-satu masa.
Pusat kegiatan Islam dan masjid ini berkeluasan 10,000 meter persegi dan menelan belanja sebanyak 10 juta euro – pembiaya utamanya adalah kerajaan Qatar.
Ianya dibuka secara rasmi pada 4 Mei 2013 dan dibanjiri oleh 20,000 hingga 30,000 Muslim dari seluruh dunia khususnya umat Islam dari Bosnia dan Herzegovina.
Lebih kurang 10,000 orang Islam yang kebanyakannya berasal dari Bosnia dan Herzegovina tinggal di kawasan Rijeka. Idea untuk membina sebuah masjid yang dapat menjadi pusat aktiviti umat Islam yang bermula semenjak lima dekad yang lalu akhirnya tercapai dengan pembinaan Pusat Kegiatan Umat Islam dan Masjid Rijeka.
No comments: