Ads Top

Ini Padahnya Suami Bohongi Isteri, Walau Cuma Nak Makan Sedap Sendirian

Boleh huru hara bila suami diam-diam membohongi isterinya. Walaupun isteri itu sendiri tak tahu yang dia sedang dibohongi. Akhirnya Allah tunjukkan kebenaran.

Kisah yang dikongsikan Ustaz Abd Ghani Haron ini ‘simple’ saja. Tentang seorang suami yang nak makan sedap sendirian. Sampai sanggup berbohong pada isteri. Sudahnya, dia dapat pengajaran ketidakjujurannya.

Padah Berbohong Pada Isteri

Pagi kelmarin ketika selesai solat subuh, saya duduk bersembang dengan beberapa jemaah di surau. Seorang bercerita, “Kelmarin aku teringat nak makan mee kuah di Lahar Yooi. Jadi bila makan tengah hari, aku makan sikit sahaja.”

Selepas solat zohor, aku beri alasan pada orang rumah nak balik ziarah mak. Sedangkan aku sebenarnya nak pi makan mee.”

Kalau bagitau yang sebenar, tentu dia nak ikut. Jika dia ikut, balik nanti bimbang dia sakit pinggang kerana duduk atas seat motor kapcai buruk agak jauh.”

Setelah bertolak beberapa lama, aku rasa macam tersesat jalan, sedangkan dah berkali-kali aku pernah pergi ke gerai mee itu.”

Berpatah balik, minyak motor pula hampir habis. Jadi mencari kedai minyak pula sebelum mencari jalan ke gerai tersebut.”

Akhirnya sampai juga ke gerai itu. Tetapi alangkah hampanya, gerai itu tutup, tidak berniaga. Akhirnya balik ke rumah membuka tudung saji menghadap saki baki lauk yang tinggal.”

Suami Kongsilah Rezeki Dengan Keluarga, Nikmatinya Bersama

Kami yang diam mendengar dari tadi, gelak berdekah. Seorang berkata, “Padan muka, berbohonglah lagi pada bini.” Disambut hilai tawa yang berderai.

Marilah kita mengambil iktibar sedikit dari kisah ini. Nampak seperti Allah menegur suami ini dengan menyebabkan dia sesat jalan, kehabisan minyak dan akhirnya gerai tidak buka.

Sebagai suami, sebaiknya semua rezeki dikongsi, dinikmati bersama. Jangan fikir perut sendiri sahaja, nafsu dan selera sendiri sahaja.

Sesungguhnya perkahwinan ini satu perkongsian, maka berkongsilah segalanya, baik susah senang, pahit manis, bahagia membahagiakan.

Berbohong Untuk Mendamaikan Hati Isteri..

Memang ada ketika boleh membohongj isteri terutama bagi tujuan baik.

Sabda nabi:
قال النبى صلى الله عليه وسلمكل الكذب يكتب على ابن آدم إلا ثلاث , الرجل يكذب فى الحربِ , فإن الحربَ خدعة , والرجل يكذب على المرأة فيرضيها , والرجل يكذب بين الرجلين ليصلح بينهما
رواه السَنَى : تحذيب أطراف الحديث الصفحة : 22 الجزء الثانى

Semua penipuan akan ditulis atas anak Adam melainkan 3 perkara:
Lelaki yang berbohong ketika dalam medan peperangan. Kerana berperang mesti melalui helah atau tipu daya. Lelaki berbohong kepada isteri supaya isteri menyukainya. Lelaki berdusta kerana muslihat di antara dua orang yang bertelingkah atau berkelahi.

Berbohong dalam perkara baik sahaja seperti memuji isteri berpakaian cantik walaupun taklah cantik. Pada hadis lain disebut isteri juga boleh berdusta pada suami juga dengan tujuan baik.

Dari Ummu Kalsum binti Uqbah, ia berkata, aku belum pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan keringanan sedikitpun kepada seseorang untuk berdusta kecuali dalam tiga perkara.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku tidak menganggap berdusta seseorang yang mendamaikan manusia lalu ia mengatakan sesuatu dengan maksud mendamaikan, seseorang yang berbicara dalam (siasat) perang , dan seorang suami yang berbicara kepada istrinya atau istri yang berbicara kepada suaminya” (HR. Abu Dawud).

Suami Boleh Bohongi Isteri, Jika..

Ringkasnya nabi memberi keringanan boleh berdusta suami isteri untuk tujuan:

√   Kebahagiaan Rumahtangga. Bukan untuk tujuan kepentingan diri atau muslihat buruk. Peluang suamj atau isteri keluar rumah jangan disalahgunakan. Manfaatkanlah untuk diri tanpa mengabai mereka yang di rumah. Jika boleh berkongsi bersama itu lebih baik.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya bagi yang mahu berfikir. Sesungguhnya Allah tidaklah melepas manusia ke dunia ini bagai melepas haiwan peliharaan di padang, lalu tidak dipedulikan. Tetapi Allah tetap memerhati, memantau, menegur, menguji dan akhirnya menghalau balik ke pangkuanNya.

Kisah di atas satu contoh bagaimana Allah menegur hambanya. Wallahu’alam

Sumber/Foto : Abd Ghani Haron

Foto keluarga : Gambar sekadar hiasan

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

The post Ini Padahnya Suami Bohongi Isteri, Walau Cuma Nak Makan Sedap Sendirian appeared first on Mingguan Wanita.




No comments:

Powered by Blogger.