Ads Top

Bila Isteri Mengaku Dah Kurang Rasa Sayang Di Hatinya, Suami Jangan Ambil Mudah!

Apakah anda pernah merasa cinta tak berbaki lagi dalam hati? Apa puncanya suami dengan tak sengaja marah dan melafazkan ayat yang amat menyakitkan perasaan?

Sampai bergegar Arsy Allah, inikan lagi hati seorang wanita, jika suami tak sengaja lafazkan cerai. Saat suami ancam isteri dengan gelodak emosi yang murka, yang didengari hanya kata syaitan durjana yang mengapi-apikan lidahnya.

Ketika itu isteri berasa amat terhina, hilang segala kemanisan kasih sayang, pupuslah rasa cinta. Bersama kolumnis ruangan Keluarga Sakinah di dalam majalah Mingguan Wanita, Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, yang juga Perunding Undang-Undang Keluarga Islam berkongsi topik ini.

Cinta Hilang

Bila suami memeluk, tidak lagi terasa hangat. Bila dia memujuk, tiada lagi rasa damai. Bila dia menangis meminta ampun sekalipun, hati isteri terkunci mati. Benarkah cinta begitu mudah hilang tiada bekas? Berapa lama anda rasa sebegitu, berhari-hari atau berminggu bahkan bertahun?

Pada kebiasaannya, jiwa yang gelisah akan mencari ketenangan di sisi Tuhan. Tiada lagi tempat yang menjanjikan jalan keluar kecuali meminta tolong kepada Allah kerana Dialah satu-satunya Tuhan Yang Maha Mengurus makhluk dengan sempurna. Saat itu kita cuba membelek kembali nasihat agama, petunjuk al-Quran dan hadis Nabi s.a.w yang memberi panduan dalam setiap ujian kehidupan.

Bila suami rasa pelukan suami tak lagi hangat

Beberapa petua dan tip ini diharapkan boleh menjawab persoalan tentang bagaimana cara mengubat luka di jiwa isteri atau suami jika kita berdosa kepadanya?

1. Takutlah Kepada Allah Dan Perbaiki Diri

Dosa kita kepada pasangan sebenarnya berkait rapat dengan dosa kita kepada Allah. Semua perbuatan jahat kita kepada pasangan penyebabnya adalah kerana kita suka bermaksiat kepada Allah. Suami yang leka tak solat, asyik berhibur sampai tak ingat jalan pulang, lupa tanggungjawab kepada isteri dan anak, lebihkan kawan sampai tak tahu nak bezakan halal haram, perangai suami sebeginilah yang merosakkan perkahwinan.

Oleh itu jika mahu memperbaiki hubungan dengan pasangan, kita juga wajib memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Sebagaimana nasihat Rasul s.a.w kepada umatnya: “Bertakwalah (Takutlah) kamu kepada Allah di manapun kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan (dosa). Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” (Riwayat Imam at-Tirmizi, hadis hasan sahih)

Hati siapa yang tak lunak melihat suami bersungguh-sungguh mahu menebus kesilapannya dengan bertaubat, menjadi hamba Allah yang soleh. Jika dulu masanya habis bersama gadjet sekarang kerap bersama al-Quran. Suaranya tidak lagi kasar dan menyakitkan kerana lidahnya kerap beristighfar. Hartanya diserah kepada isteri untuk diurus tidak lagi kedekut memberi sedekah kepada anak sendiri. Kawan-kawannya yang dulu minat bola, judi dan maksiat telah ditinggalkan diganti dengan kawan-kawan yang minat belajar agama, jujur dan berjaya dalam kerjaya. Jika suami seperti ini datang kepada isterinya dan meminta dibukakan pintu maaf, pasti isteri rela melupakan apa yang dulu pernah menyakitkannya.

2. Hati Suka Pada Hadiah

Untuk menyatakan ampun maaf yang ikhlas, suami perlu memberi sesuatu yang boleh menyenangkan hati isteri. Bercutilah, berilah bonus sebagai tanda menghargai jerih payah isteri.

Ada suami yang hartanya banyak tapi takut membelanjakannya, tak terfikir membawa keluarga menikmati harta sehinggalah keluarga itu terpisah. Anak-anak membesar tanpa ditinggalkan kenangan manis. Tak pernah pergi bercuti, tak mahu merai hari-hari penting dalam keluarga, tak ingat hari lahir mereka, tak buat apa-apa majlis untuk menyatakan kesyukuran sebagai sebuah keluarga. Apa yang akan diingat oleh anak-anak dan isteri?

Ayah mereka yang sibuk mengumpul harta, tapi tak mampu menikmati harta. Kenangan apa yang akan ditinggalkan kepada keluarga kita? Akhirnya si ayah meninggal tanpa sempat menikmati hasil jerih payahnya sendiri. Betapa ruginya melihat anak-anak dewasa tanpa sempat melakar kenangan indah dalam jiwa mereka.

3. Sabar Dan Sentuhlah

Suami yang pernah berdosa kepada isteri perlu bersabar menerima penolakan-penolakan isteri ketika mahu berdamai. Jangan sesekali ancam isteri dengan kata-kata kesat ketika dia enggan melayan atau lambat memberi respons ataupun acuh tak acuh bila dimintai khidmatnya. Suami perlu bersabar, banyak memberi maaf daripada menghukum, belajar semula cara meruntuhkan ego isteri, membuatnya jatuh cinta lagi.

Satu sentuhan yang paling berkesan adalah dekatkan dia pada agama, pergi ke masjid bersama-sama, mendengar ceramah, membaca al-Quran dan hadis-hadis bersama sebelum tidur,tak lokek meminta maaf dan banyak bertanya kepada isteri tentang layanan anda terhadapnya. Semua ini jika diamalkan akan melembutkan hati isteri dan menerima anda kembali seperti dulu.

Inilah antara petua-petua yang dihasilkan dari pengalaman orang-orang yang pernah mengalami konflik dalam rumah tangga. Tiada siapa yang terlepas dari goncangan alam perkahwinan sekalipun Nabi dan Rasul, patah lagi kita manusia biasa. Jika tersilap cepatlah bertaubat, baiki apa yang rosak kerana perkahwinan adalah ibadah yang dilakukan seumur hidup, ia akan menentukan syurga atau nerakakah yang akhirnya menjadi milik kita. Ya Allah berilah pertolongan!

The post Bila Isteri Mengaku Dah Kurang Rasa Sayang Di Hatinya, Suami Jangan Ambil Mudah! appeared first on Mingguan Wanita.




No comments:

Powered by Blogger.