Bisikan Syaitan Bukan Seperti Bisikan Hantu Yang Kita Tengok Di Cerita
Syaitan pernah berjanji untuk menggoda anak Adam hingga hari kiamat – itu hakikat yang semua orang tahu. Tetapi kerap kali juga saya tertanya-tanya – dalam cara bagaimana syaitan ini menghasut kita?
Kerana dalam banyak keadaan, kita tidak akan sama sekali sedar bilakah kita digoda. Kita bangun pagi, solat, sarapan, lakukan aktiviti dan tugasan harian, dan malamnya kita tidur semula. Hari kita terasa seperti hari-hari biasa.
Hakikatnya bisikan syaitan bukan seperti bisikan hantu yang kita tonton di cerita-cerita. Bukan ada angin sejuk yang tiba-tiba berhembus di pipi atau bunyi seram yang boleh didengari. Bisikan syaitan adalah bisikan pada hati, tanpa suara dan tanpa isyarat. Malah, jika kita sudah terbiasa mengikut bisikan syaitan, kita mungkin menganggap itu dari diri kita sendiri.
Hakikat Syaitan Yang Bersembunyi
Perihal syaitan yang bersembunyi di hati ini ada diceritakan dalam Surah An-Nas.
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ
(Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia) – Ayat 1
مَلِكِ النَّاسِ
(Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia) – Ayat 2
إِلَـٰهِ النَّاسِ
(Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia) – Ayat 3
مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ
(Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam) – Ayat 4
الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ
(Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia) – Ayat 5
مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ
(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia) – Ayat 6
Fokus di sini adalah pada ayat yang keempat dan kelima. Perkataan ‘alwaswas’ di sini bermaksud bisikan atau apa yang terlintas dalam hati manusia berupa sangkaan dan khayalan yang tidak ada kebenarannya.
Manakala ‘al-khannas’ bermaksud yang benar-benar bersembunyi, syaitan yang mengganggu dan memperdaya, yang kadang-kadang datang dan pergi.
Menurut Sa’id bin Jubair RA, Ibn Abbas menerangkan bahawa firman Allah yang bermaksud, “bisikan syaitan yang bersembunyi” merujuk kepada keberadaan syaitan yang selalunya berada dekat dengan hati manusia.
Bagaimana Untuk Menyedarinya
Saya pasti kita pernah terkeliru dalam menilai. Kadang-kadang hal yang nampak baik pada zahirnya rupanya mempunyai keburukan yang tersembunyi.
Disebabkan itu kita disarankan untuk sentiasa menyucikan hati dengan amalan zikir, membaca Al-Quran dan solat. Hati yang dibiasakan dengan kebaikan mampu mengenalpasti bisikan jahat daripada syaitan. Hati yang jernih mampu memberi tanda kepada kita setiap kali syaitan ingin memperdaya. Seperti cermin yang jernih dan bersih, kita mampu melihat kotoran yang melekat padanya.
Kita juga diajarkan supaya membaca kalimah istia’zah iaitu “A’uzubillahi mina-s-syaitani rajim” yang bermaksud “Sesungguhnya aku berlindung daripada syaitan yang direjam’
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)” Surah Al-‘Araf 7:201)
Syaitan tidak pernah berhenti daripada mempengaruhi kita untuk mendekati keburukan dan dosa. Apabila kita sedar hakikat ini, kita tahu bahawa kita sentiasa perlu menilai hati dan amalan dalam masa yang sama sentiasa berlindung kepada Allah daripada terjerumus ke dalam perangkapnya.
No comments: