Ads Top

11 Kepentingan Ilmu Yang Umat Islam Perlu Tahu

Menuntut ilmu ialah satu kewajipan bagi setiap orang Islam. Dengan ilmu, seseorang itu dapat melayari kehidupan dengan penuh keyakinan, sentiasa berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan dan dipandang mulia .

Allah SWT akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu sebagaimana firmanNya:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: Nescaya Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Ilmu-Nya tentang apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Mujadalah 58:11)

Di dalam buku karangan beliau yang bertajuk ‘Nota Untuk Anakku’, Dato’ Seri Dr Haji Zulkifli bin Mohamad al-Bakri telah menggariskan kepentingan ilmu pengetahuan. Antaranya ialah:

• Ilmu adalah warisan para Nabi AS sedangkan harta adalah warisan Firaun dan Qarun.

• Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu menjaga manusia sedangkan harta dijaga oleh manusia.

• Orang yang berilmu mempunyai ramai kawan sedangkan banyak harta banyak pula musuhnya.

• Ilmu jika diberikan akan bertambah, manakala harta pula jika diberikan akan berkurang.

• Ilmu tidak boleh dicuri, sedangkan harta boleh hilang dan lenyap.

• Harta boleh habis sebelum pemiliknya mati, sedangkan ilmu yang diajarkan tidak pernah habis dengan kematian pemiliknya.

• Ilmu tidak dapat dihitungkan, sedangkan harta dapat diketahui jumlahnya.

Ilmu terbahagi kepada dua, ilmu agama (ukhrawi) dan ilmu dunia (duniawi). Kedua-dua ilmu ini juga dibahagikan kepada dua sama ada ilmu fardu ain atau ilmu fardu kifayah yang mana kedua-duanya amat perlu dipelajari.

Setiap ilmu yang dipelajari mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Di bawah ini disenaraikan 11 kelebihan ilmu.

1. Siapa yang mempelajari Sastera, maka lembut dan eloklah bahasanya

2. Siapa yang mempelajari Hadis, maka kuatlah hujahnya

3. Siapa yang mempelajari Sejarah, maka banyaklah iktibarnya

4. Siapa yang belajar Matematik, maka tepatlah andaiannya

5. Siapa yang mempelajari Sains, maka betullah eksperimennya

6. Siapa yang mempelajari Geografi, maka fahamlah kehidupannya

7. Siapa yang mempelajari Tauhid, maka kukuhlah akidahnya

8. Siapa yang mempelajari Mantik, maka mudahlah ia menangkis hujah

9. Siapa yang mempelajari Feqah, maka sahihlah ibadatnya

10. Siapa yang mempelajari Tasawuf, maka sahihlah ibadatnya

11. Siapa yang mempelajari al-Quran, nescaya Allah SWT memeliharanya. Inilah kemuncaknya.

Sejarah Islam telah membuktikan kekuatan umat Islam dalam perkembangan ilmu dengan lahirnya tokoh-tokoh Islam dalam pelbagai bidang. Yang paling utama tentunya Rasulullah SAW dan generasi sahabat serta tabiin yang bersungguh-sungguh mewariskan keilmuan mereka kepada generasi berikutnya.

Tokoh-tokoh ilmuan Islam yang terkenal yang dapat diambil hikmah dan pengajaran ialah Ibn Khaldun yang membawa panji-panji ilmu Sejarah, Sains Sosal dan pembangunan kepada manusia dan Ibnu Sina yang membawa panji-panji ilmu falsafah dan kedoktoran kepada manusia.

Juga tokoh Islam yang memartabatkan ilmu pembedahan iaitu Abu Qasim al-Zakhrawi, juga Abu Bakar Al-Khawarizmi yang mempelopori bidang Matematik dan Ilmu Falak.

Tokoh ilmuwan Islam juga bukan hanya dipelopori oleh kaum lelaki, kaum wanita juga tidak ketinggalan dalam menjadikan ilmu sebagai platform untuk memperkasakan ummah.

Sebagai contoh, Dr Hayat binti Sulaiman bin Hassan Sindi yang diiktiraf di atas pencapaiannya dalam mewujudkan satu ekosistem di antara bidang keusahawanan dan inovasi sosial dalam kalangan saintis, jurutera dan juruteknologi di Timur Tengah dan dunia luar.

Di atas usahanya yang cemerlang, Dr Hayat Sindi telah dilantik sebagai UNESCO Goodwill Ambassador pada bulan Oktober, 2012.

Beliau juga ialah wanita kelahiran Negara Teluk yang pertama yang mendapat kelayakan akademik tertinggi iaitu PhD dalam bidang Bioteknologi dari University of Cambridge, UK.

Terkini, beliau menjawat jawatan Penasihat Kanan kepada Presiden Islamic Development Bank Group untuk Sains, Teknologi dan Inovasi.

Apabila ditanya tentang inovasi, inilah jawapan beliau.

“It is very important to remain who you are. To retain your identity and your own culture, while admiring and respecting the cultures of others. Having the confidence to try is the root of all innovation.”

Dalam menuntut apa sahaja ilmu, jangan sesekali lupa asal-usul kita. Berhenti mencuba bermaksud menempah kegagalan.

Semoga kita sentiasa berdoa untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat dan memanfaatkan ilmu yang kita dapat.




No comments:

Powered by Blogger.