Lepas 12 Tahun, Keluarga Iskandar 3 Muncul Semula Di Kaca Televisyen
Selepas lebih sedekad menyepi, akhirnya doa dan harapan para peminat dimakbulkan. Siri ikonik Keluarga Iskandar kini kembali semula dengan musim terbaharu, Keluarga Iskandar 3, sekali gus mencetuskan gelombang keterujaan luar biasa di media sosial.
Pengumuman rasmi mengenai kebangkitan semula siri ini mula mencuri perhatian ramai selepas poster dan trailer rasmi dilancarkan oleh pihak Astro Malaysia.
Apa yang menarik, ruangan komen di media sosial seolah-olah bertukar menjadi medan nostalgia, apabila rata-rata netizen meluahkan rasa rindu terhadap keluarga paling ‘havoc’ dan penuh warna ini.
“Tak sangka lepas 12 tahun akhirnya Keluarga Iskandar kembali. Ini drama zaman remaja aku!” antara komen yang mendapat ratusan tanda suka.
Tidak kurang juga yang menganggap kemunculan semula siri ini sebagai comeback paling ditunggu-tunggu dalam sejarah drama tempatan.
Trailer rasmi yang dimuat naik di platform Bambam Studios turut mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila meraih lebih 600,000 tontonan, sekali gus membuktikan bahawa Keluarga Iskandar masih punya tempat istimewa di hati penonton.
Rata-rata netizen memuji jalan cerita yang masih mengekalkan ‘rasa’ lama, selain menyifatkannya sebagai segar dan relevan dengan penonton masa kini.
Antara perkara paling kerap dibangkitkan dalam ruangan komen adalah harapan agar barisan pelakon utama dikekalkan. “Kalau pelakon asal ada, memang lengkap nostalgia,” tulis seorang pengguna, manakala seorang lagi berkata, “Tak sabar nak tengok dinamika keluarga ni balik, harap lawak dan emosi masih jadi.”
Untuk peminat setia yang sudah lama menunggu, Keluarga Iskandar 3 akan mula bersiaran pada 6 Februari, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di Astro Ria, dan turut boleh distrim menerusi aplikasi Sooka. – KopiPlanet.com
The post Lepas 12 Tahun, Keluarga Iskandar 3 Muncul Semula Di Kaca Televisyen appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: