‘Metalverse’ Festival Dua Hari Metal & Punk Bertaraf Antarabangsa Bakal Gegar Kuala Lumpur
Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan peminat muzik metal dan punk apabila “Metalverse”, sebuah festival muzik berskala antarabangsa, diumumkan bakal berlangsung selama dua hari pada 30 April hingga 1 Mei bertempat di Megastar Arena Kuala Lumpur, dari 3.00 petang hingga 12.00 tengah malam.
Dianjurkan oleh Vox Nation Live, “Metalverse” diwujudkan sebagai platform eksklusif untuk meraikan budaya metal dan punk yang bukan sekadar sebagai genre muzik, tetapi sebagai satu komuniti yang dibina atas semangat kejujuran, tenaga dan kebersamaan peminatnya.
Lahir Daripada Kehendak Komuniti
Menurut En. Shawn Chang, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, “Metalverse” tercetus daripada satu kekosongan yang jelas dalam landskap muzik live serantau.
“Walaupun Malaysia mempunyai komuniti metal dan punk yang sangat bersemangat serta berpengetahuan, festival berskala besar yang benar-benar memberi fokus kepada genre ini masih jarang. Metal dan punk bukan sekadar muzik, ia adalah budaya. ‘Metalverse’ diwujudkan untuk memberi platform dan penghormatan yang sewajarnya kepada komuniti ini, sambil menghubungkan peminat tempatan dengan ekosistem metal dan punk global,” jelasnya.
Megastar Arena KL: Lokasi Strategik
Pemilihan Megastar Arena KL sebagai lokasi utama dibuat berdasarkan keseimbangan dari segi kapasiti, kualiti bunyi dan kemudahan akses.
“Lokasi ini membolehkan kami mencipta pengalaman yang intim tetapi berkuasa, cukup dekat untuk peminat merasai setiap riff dan breakdown, namun cukup besar untuk menampung produksi bertaraf antarabangsa. Kedudukannya yang strategik juga memudahkan kehadiran peminat dari seluruh daerah Lembah Klang serta di luar kawasan,” tambah En. Shawn.
Barisan Antarabangsa Berimpak Tinggi
Dengan enam artis antarabangsa telah pun disahkan, “Metalverse” menjanjikan barisan artis yang dirangka dengan teliti berdasarkan tiga prinsip utama: relevan, impak persembahan dan permintaan peminat.
“Kami memilih band yang benar-benar berpengaruh dalam arena metalcore, post-hardcore dan punk moden hari ini, bukan sekadar popular di platform penstriman, tetapi terkenal dengan persembahan live yang luar biasa. Kami juga mengambil kira permintaan peminat Malaysia yang jarang mendapat peluang menonton band-band ini secara langsung di sini,” katanya.
Antara nama besar yang bakal menggegarkan pentas Metalverse termasuk Of Mice & Men dan Blessthefall, yang mewakili pelbagai cabang muzik berat moden serta dikenali dengan hubungan emosi yang kuat bersama peminat mereka.

Pengalaman Intensif Tanpa Kompromi
“Metalverse” direka sebagai sebuah pengalaman menyeluruh untuk peminat muzik berat.
“Ini bukan sekadar menonton persembahan. Daripada produksi pentas profesional, pencahayaan, susunan jadual yang kemas hingga susun atur yang mesra pengunjung, ‘Metalverse’ adalah tentang tenaga kolektif selama dua hari di mana peminat, artis dan komuniti bersatu di bawah satu bumbung,” ujar En. Shawn.
Platform Istimewa Buat Artis Tempatan
Menariknya, barisan artis tempatan akan diumumkan lebih hampir dengan tarikh festival, satu strategi yang disengajakan.
“Scene muzik berat tempatan sedang berkembang, dan kami mahu memberi perhatian yang lebih bermakna kepada artis tempatan. Pengumuman lebih dekat dengan acara membantu membina momentum dan memastikan mereka disorot sebagai sebahagian penting naratif ‘Metalverse’, bukan sekadar pelengkap,” katanya.
Festival Berteras Genre, Berteras Peminat
Selain dua kumpulan indie jemputan khas yang bakal beraksi, Midnight Fusic dan juga Spooky Wet Dreams, “Metalverse” menampilkan pendekatan yang berbeza berbanding festival rock atau metal lain di rantau ini.
“‘Metalverse’ adalah festival yang fokus, ia dibina khusus untuk peminat metal dan punk, daripada pemilihan artis, tempo festival, hinggalah kepada suasana keseluruhan. Matlamat kami adalah kualiti mengatasi kuantiti, dan pengalaman mengatasi persembahan visual,” tegas Shawn.
Membawa Dunia Ke Malaysia
Bagi Vox Nation Live, “Metalverse” juga membawa misi yang lebih besar iaitu membuka akses terus kepada peminat tempatan.
“Peminat Malaysia sangat bersemangat dan berpengetahuan, namun sering terpaksa ke luar negara untuk menonton band kegemaran mereka. ‘Metalverse’ adalah usaha untuk mengubah realiti itu, membuktikan bahawa Malaysia adalah pasaran yang kuat dan relevan untuk muzik berat,” katanya.
Sebuah Permulaan
Dengan sokongan positif daripada komuniti metal dan punk tempatan serta rakan industri, “Metalverse” dilihat sebagai permulaan kepada sesuatu yang lebih besar.
“Ini hanyalah permulaan… visi jangka panjang kami adalah untuk menjadikan ‘Metalverse’ sebagai festival utama yang berulang, berkembang dari segi skala, reputasi dan pengaruh. Kami mahu ia menjadi festival yang artis mahu sertai dan peminat tandakan dalam kalendar mereka pada setiap tahun,” ujar En. Shawn menutup bicara. – KopiPlanet.com
The post ‘Metalverse’ Festival Dua Hari Metal & Punk Bertaraf Antarabangsa Bakal Gegar Kuala Lumpur appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: