Ads Top

‘Kelas Belakang’ Angkat Kisah Realiti Pelajar Yang Diletakkan Di Kelas Paling Corot

Viu, perkhidmatan penstriman OTT pan-serantau terkemuka di bawah PCCW, hari ini mengumumkan pelancaran Viu Original pertama bagi tahun 2026 berjudul Kelas Belakang.

Sudah ditayangkan mulai 8 Januari lalu dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat, siri 12 episod ini mengangkat realiti pelajar yang ditempatkan di kelas paling tercorot, yang sering dipandang remeh, dipinggirkan dan dinilai berdasarkan label semata-mata, bukannya potensi sebenar mereka.

Dalam sistem pendidikan yang menilai pelajar hanya berdasarkan gred, pelajar Kelas 5 Fikir sering dianggap sebagai golongan yang tidak mempunyai harapan, malas, malah ada yang dianggap berbahaya.

Segalanya berubah apabila Iman Kirana (Amylia Aidura), pelajar terbaik sekolah tersebut, menawarkan diri untuk menjadi tutor mereka demi mendapatkan biasiswa universiti yang berprestij.

Apa yang bermula sebagai satu langkah strategik yang dirancang rapi, perlahan-lahan berubah menjadi sesuatu yang lebih bermakna apabila Iman mula mengenali personaliti sebenar disebalik setiap label yang diberikan kepada mereka.

Kelas Belakang menampilkan barisan pelakon muda Malaysia yang berbakat besar termasuk Amylia Aidura, Zairi Aziz, Farihin Arnia, Areef Amran, Faha Azhar, Ryliana Azizan, Arfie Shah dan Myra Afrina, yang memberikan lakonan berjiwa dan penuh keaslian dalam menghidupkan watak masing-masing.

Eric Siew, Country Manager Viu Malaysia, berkata, Kelas Belakang melambangkan semangat Viu Original iaitu berani, relevan dan menyentuh emosi.

“Ini bukan sekadar drama sekolah menengah, tetapi sebuah kisah tentang mempercayai diri sendiri apabila dunia sudah pun menetapkan siapa anda.

“Kami mahu mengetengahkan kisah yang mencerminkan realiti dan cabaran anak muda hari ini, serta mengingatkan penonton bahawa kejayaan tidak ditentukan dimana anda bermula, tetapi sejauh mana anda sanggup melangkah ke hadapan,” ujarnya.

Kelas Belakang diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad (Labu) dan diterbitkan oleh Independent Pictures. – KopiPlanet.com

The post ‘Kelas Belakang’ Angkat Kisah Realiti Pelajar Yang Diletakkan Di Kelas Paling Corot appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.