Ads Top

Namewee Ditahan Polis Miliki Pil Ecstasy, Didapati Positif Empat Jenis Dadah

Pengarah dan pelakon kontroversi, Wee Meng Chee atau popular sebagai Namewee ditahan polis selepas disyaki memiliki dan menggunakan dadah dalam serbuan di sebuah hotel di ibu negara pada bulan lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 22 Oktober lalu kira-kira jam 4.30 petang.

“Pemeriksaan di dalam bilik hotel terbabit menemui sembilan biji pil berwarna biru disyaki ecstasy dengan anggaran berat 5.12 gram.

“Suspek berusia 42 tahun itu kemudiannya dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif empat jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.

“Suspek direman selama dua hari melalui perintah mahkamah bagi membantu siasatan sebelum pertuduhan dibuat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pada 24 Oktober lalu, suspek telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur atas dua pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi pertuduhan pertama, suspek didakwa di bawah Seksyen 39A(1) kerana memiliki dadah, manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 15(1)(a) kerana menggunakan dadah.

“Suspek tidak mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan mahkamah membenarkan jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan,” katanya.

Ujarnya, kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Disember depan. – KopiPlanet.com

The post Namewee Ditahan Polis Miliki Pil Ecstasy, Didapati Positif Empat Jenis Dadah appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.