Nabila Razali Muncul Dengan #BalasBaik, Gabungkan Elemen Kontemporari & Mesej Kemanusiaan
Penyanyi dan pelakon terkenal, Nabila Razali, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single terbaharunya berjudul “#BalasBaik”.
Lagu berkenaan adalah hasil kolaborasi istimewa antara Nabila Razali Entertainment dan Sony Music Malaysia, dengan kerjasama Malika Entertainment & Management.
Dicipta oleh duo hebat Audi Mok dan Shazee Ishak, serta diterbitkan oleh PSTN, “#BalasBaik” merupakan karya pop moden yang menggabungkan elemen kontemporari dengan mesej kemanusiaan yang mendalam — tentang kekuatan untuk memilih kebaikan walaupun dalam situasi yang sukar.
“Lagu ini mengingatkan saya bahawa ketenangan datang bila kita tidak membalas keburukan dengan kebencian, tetapi dengan hati yang ikhlas dan tenang,” ujar Nabila Razali tentang maksud di sebalik karya terbarunya.
“#BalasBaik” membawa tema universal — tentang penyembuhan, keikhlasan dan kedamaian diri. Lirik seperti “Buat jahat jahat, balas baik” menyerlahkan mesej kekuatan dalaman dan keupayaan untuk berdamai dengan masa lalu tanpa menyimpan dendam.
“Membalas dengan baik bukan tanda lemah, tapi tanda jiwa yang besar. Itu sebenarnya kuasa sebenar ketenangan,” kata Nabila lagi.
Nabila menambah bahawa lagu ini adalah refleksi perjalanan peribadinya sebagai seorang wanita dan artis yang semakin matang dan tenang.
“Saya dah sampai fasa di mana saya tak perlu marah untuk tahu siapa yang benar. Kadang cukup dengan senyuman untuk kita jaga diri dan tenaga sendiri,” jelasnya.

“#BalasBaik” memperlihatkan sisi baharu Nabila — lebih yakin, lebih matang dan lebih berani bereksperimen dengan bunyi pop moden berinspirasikan trap, namun masih mengekalkan kelembutan dan identiti dirinya sebagai artis berhijab.
“Saya nak buktikan bahawa wanita berhijab pun boleh bawakan muzik pop moden dengan gaya tersendiri. Hijab bukan batas, tapi inspirasi,” kata Nabila penuh semangat.
Dari segi produksi, “#BalasBaik” mempamerkan keseimbangan antara bahasa harian dan simbolik, menjadikan lagu ini ringan didengar tetapi kaya dengan lapisan makna. Ia bukan sekadar lagu pop, tetapi satu bentuk kepastian untuk terus melangkah dengan hati yang tenang.
Lebih daripada sekadar karya muzik, “#BalasBaik” hadir sebagai lagu penyembuh bagi mereka yang pernah dilukai. Ia menyeru pendengar untuk membalas setiap cabaran kehidupan dengan senyuman, dan memilih kebaikan sebagai bentuk kekuatan.
“Saya harap lagu ini menjadi peringatan bahawa kebaikan tidak pernah ketinggalan zaman. Dunia boleh keras, tapi bila kita kekal lembut dan kuat pada masa yang sama, itulah keindahan sebenar seorang insan,” ujar Nabila.
“#BalasBaik” oleh Nabila Razali akan boleh distrim di semua platform digital utama mulai 31 Oktober 2025. – KopiPlanet.com
The post Nabila Razali Muncul Dengan #BalasBaik, Gabungkan Elemen Kontemporari & Mesej Kemanusiaan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: