Azharina Azhar Nafi Daniesh Suffian ‘Anak Ikan’, Perjelaskan Hubungan Sebenar Kedua-Duanya
Penyanyi popular bersuara mantap, Azharina Azhar tampil menjelaskan mengenai hubungannya dengan seorang penyanyi muda Daniesh Suffian.
Azharina memberitahu, hubungannya dengan Daniesh adalah dua pupu memandangkan datuk mereka adalah adik-beradik, sekaligus menepis dakwaan yang mengatakan penyanyi itu adalah ‘anak ikan’nya.
“Selepas ini saya harap orang tidak lagi salah faham. Kami memang ada pertalian darah di sebelah ayah dan dia adalah dua pupu saya sebab datuk kami adik-beradik.
“Tidak dinafikan ada juga komen yang mengatakan kami ini seperti ibu dan anak dan saya hanya mampu ketawa. Saya anggap komen-komen itu biasa sahaja,” ujarnya.
Ujar Azharina, dia sendiri sebenarnya hairan dan tidak mengetahui bagaimana tuduhan yang mengatakan Daniesh itu adalah ‘anak ikan’nya boleh timbul.
“Agak kasihan juga pada orang yang mereka-reka cerita itu, tetapi dalam masa yang sama saya mahu ucapkan terima kasih.
“Mungkin ada hikmah di sebalik fitnah itu dan saya langsung tidak ambil hati,” ujarnya.
Berkongsi tentang kolaborasinya dengan Daniesh menerusi single terbaharu berjudul Gunung Kinabalu, penyanyi kelahiran Sabah itu berkata, keputusannya menampilkan penyanyi itu dalam lagu duet mereka adalah sebagai tanda sokongan terhadap bakat saudaranya itu.
“Dengan hubungan sebagai dua pupu dan juga macam kakak kepada Daniesh, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mengetengahkan bakatnya. Sebab itu saya bawa dia menyanyi bersama dalam lagu Gunung Kinabalu ini.
“Paling penting suara dia memang sedap dan boleh ‘masuk’ dengan suara saya. Banyak penyanyi cuba buat duet tapi tak semua suara boleh serasi. Tapi bila kami nyanyi sama, vokal kami boleh berpadu dengan baik, sama ada lagu baharu atau ‘cover’ di TikTok,” jelasnya.
Lagu Gunung Kinabalu sudah mula dilancarkan secara rasmi pada 3 September lalu bersempena sambutan Hari Malaysia.
Ia boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Video muzik rasmi turut akan dilancarkan serentak dan dijangka menjadi antara tontonan utama sempena Hari Malaysia tahun ini. – KopiPlanet.com
The post Azharina Azhar Nafi Daniesh Suffian ‘Anak Ikan’, Perjelaskan Hubungan Sebenar Kedua-Duanya appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: