Ads Top

Hujan Tampil Single Baharu, Demi Lencana Di Dada Jadi Lagu Rasmi Skuad Harimau Malaya

Mahu menyemarakkan semangat membara bukan sahaja kepada pemain tetapi juga kepada penyokong Harimau Malaya telah menghasilkan sebuah kerjasama utuh antara Warner Music Malaysia (WMM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam menghasilkan single ‘Demi Lencana Di Dada’.

Dengan pengaruh band Hujan sebagai antara gergasi muzik tempatan, pastinya ada sesuatu yang istimewa dibawakan oleh mereka menerusi naskhah perdana yang mampu memanaskan suhu bola sepak Malaysia.

Dilancarkan pada 5 September ini, ‘Demi Lencana Di Dada’ bukan sekadar sebuah lagu biasa sebaliknya akan dijadikan lagu rasmi skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya yang diramal akan memperkuat semangat kesukanan dan patriotik rakyat Malaysia ketika menyokong wira negara di pentas bola sepak.

Menurut Noh yang juga merupakan vokalis kumpulan ini, mereka sudah mula bergerak membangunkan projek ini bermula Februari 2025 bagi memastikan kualiti muzik, lirik serta mesej yang disampaikan benar-benar menyentuh jiwa.

“Kami rasa sangat berbesar hati dan bangga bila diberi peluang menyanyikan lagu rasmi Harimau Malaya. Sebagai rakyat Malaysia, bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada jiwa kita semua.

“Bila kami menyanyikan lagu ini, ia bukan sekadar sebuah lagu, tapi satu semangat yang menyatukan seluruh negara di belakang pasukan kebanggaan kita,” tambahnya lagi.

Sebagai tanda pelancaran rasmi, lagu ini akan diperdengarkan buat kali pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September, sempena Perlawanan Persahabatan antara Malaysia dan Singapura.

Selain itu, lagu ini juga akan dimainkan dalam perlawanan seterusnya antara Malaysia dan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 8 September 2025.

Meskipun teruja apabila Hujan diberikan peluang tersebut, Noh mengakui yang mereka turut berhadapan dengan cabaran besar untuk merakamkan lagu ini.

“Bukan mudah sebenarnya mahu menyampaikan rasa semangat dan jiwa Harimau Malaya dengan penuh keikhlasan. Lagu ini bukan sekadar melodi tetapi ia adalah simbol perjuangan, pengorbanan dan harapan.

“Jadi kami perlu pastikan setiap lirik dan setiap nada yang kami nyanyikan boleh membakar semangat pemain dan penyokong di stadium mahupun di rumah,” ujar Noh.

Seperti yang kita semua sedia maklum, muzik merupakan antara elemen penting yang dapat menghidupkan rasa semangat dan keterujaan dalam sukan bola sepak.

Lagu juga antara salah satu cara di mana untuk menghubungkan satu generasi ke generasi yang lain selain menyatu padukan peminat daripada pelbagai latar belakang dan bangsa.

Selain menyuntik semangat perpaduan, ‘Demi Lencana Di Dada’ juga mampu membakar semangat pemain untuk terus mengharumkan nama negara di atas padang.

“Besar harapan kami agar bola sepak Malaysia terus maju, bukan saja dari segi pencapaian di peringkat antarabangsa, tapi juga dalam menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan latar belakang.

“Bola sepak ada kuasa untuk menghubungkan kita semua, dan kami percaya dengan semangat Harimau Malaya, Malaysia boleh terus melakar sejarah yang membanggakan,” tambah Noh mewakili rakan-rakan yang lain.

Sebagai rekod, ‘Demi Lencana Di Dada’ diterbitkan menerusi kerjasama antara FAM dan WMM dan ini juga merupakan lagu rasmi pertama untuk pasukan kebangsaan yang diusahakan oleh kedua-dua pihak.

Lagu ini boleh distrim di semua pelantar penstriman mulai 5 September manakala lirik video pula ditayangkan di YouTube WMM.

The post Hujan Tampil Single Baharu, Demi Lencana Di Dada Jadi Lagu Rasmi Skuad Harimau Malaya appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.