“Saya Nak Orang Reka Cerita Tampil Ke Hadapan, Cakap Apa Tak Puas Hati,” – Harissa Adlynn Nafi Arah Produksi Tegur Pelakon Lelaki Yang Mahu Menguratnya
Pelakon cantik yang semakin meningkat naik, Harissa Adlynn menepis dakwaan satu gosip yang mendakwa dirinya mengarahkan pihak produksi menegur seorang pelakon lelaki yang dikatakan mahu menguratnya di lokasi penggambaran.
Harissa berkata, dakwaan berkenaan adalah sama sekali tidak berasas dan mengganggap kisah yang timbul di kolum gosip yang menggunakan nama Cik Bunga hanyalah rekaan semata-mata.
“Saya dapat tahu pasal gosip berkenaan setelah Mama bertanya kepada saya. Saya sendiri terkejut kerana situasi itu tak pernah wujud. Saya pun tertanya-tanya siapakah yang memberitahu cerita rekaan ini kepada Cik Bunga.
“Saya nak orang yang reka cerita itu tampil ke hadapan, datang jumpa bagitahu apa yang tak puas hati dengan saya sebab cerita ni fitnah dan tak pernah berlaku,” jelasnya.
Menurut Harissa, setiap kali menjalani mana-mana penggambaran dia langsung tidak mempunyai masalah dengan pelakon lelaki yang menjadi gandingannya.
Jelasnya, dia tidak pernah terpalit dengan sebarang cinta lokasi dan sekiranya ada pelakon yang cuba mendekatinya, dia lebih selesa untuk menjadi kawan.
“Saya memang tidak pernah memberitahu atau meminta tolong pihak produksi untuk tepis pelakon lelaki daripada saya.
“Kalau betul ada yang cuba nak mendekati saya, saya akan berterus terang dengan orang itu dan cakap kita perlu bertindak profesional,” tegasnya.
Ujar Harissa, dia juga terkilan dengan gosip yang keluar dan bimbang jika ada produksi yang keberatan untuk menawarkannya berlakon sehingga menjejaskan kerjaya lakonannya.
Dalam pada itu, mengenai kerjaya lakonannya pula Harissa menjelaskan dia bakal tampil dengan sebuah drama bersiri berjudul Kerana Seorang Lelaki yang akan ditayangkan di saluran Astro Prima mulai 11 Ogos ini.
Menerusi drama arahan Michael Ang itu, pelakon berkenaan membawakan watak sebagai Kasih dan mengakui teruja dapat berlakon dalam naskhah sepanjang 40 episod itu.
“Untuk watak saya dalam drama ini, Kasih adalah seorang anak yang dilahirkan dalam sebuah keluarga yang bahagia, namun bangkit mempertahankan keluarga apabila sebuah rahsia terbongkar.
“Keserasian bersama barisan pelakon-pelakon juga sangat baik, meskipun kebanyakannya saya kali pertama bekerjasama dengan mereka,” ujarnya. – KopiPlanet.com
The post “Saya Nak Orang Reka Cerita Tampil Ke Hadapan, Cakap Apa Tak Puas Hati,” – Harissa Adlynn Nafi Arah Produksi Tegur Pelakon Lelaki Yang Mahu Menguratnya appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: