Ads Top

Konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip Bakal Sajikan Persembahan Emosional Menyentuh Hati

Buat pertama kali dalam kerjayanya, penyanyi, Hafiz Suip bakal mengadakan konsert solo berskala besar di ibu kota menerusi Di Sebalik Aku: Hafiz Suip yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 1 November 2025.

Dianjurkan oleh SAH Entertainment, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, sebaliknya menjanjikan pengalaman emosional yang menyentuh hati.

Ia akan memaparkan kisah perjalanan hidup Hafiz, termasuk perjuangannya menempuh pelbagai cabaran peribadi dan tekanan hidup, yang membentuk kekuatannya hari ini.

Selepas 16 tahun berada dalam industri seni tanah air, Hafiz kini tampil lebih matang bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai individu yang bangkit daripada kejatuhan untuk terus memberi inspirasi menerusi muzik.

Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, konsert ini membawa nilai yang cukup mendalam dan istimewa kerana ia menandakan satu titik perubahan dalam karier Hafiz.

“Ini adalah konsert pertama Hafiz Suip di Kuala Lumpur, dan ia sangat istimewa buat kami.

“Ia bukan sekadar tentang muzik, tapi sebuah kisah peribadi yang diangkat ke pentas sebagai inspirasi untuk semua,” katanya.

Dalam pada itu, Sufi memberitahu penganjuran konsert ini merupakan satu ruang penting buat Hafiz untuk kembali aktif dalam dunia seni selepas melalui detik-detik sukar dalam kehidupan peribadinya.

“Konsert ini menjadi satu sumber rezeki besar dan motivasi untuk Hafiz bekerja lebih keras. Muzik adalah perkara yang sangat dekat di hatinya. Ini adalah medan untuk dia menyalurkan semula semangat dan cintanya terhadap nyanyian.

“Jika dilihat dari segi katalog lagu, Hafiz memiliki jumlah lagu hit yang sangat banyak pada usia muda berbanding ramai penyanyi lain. Setiap lagu mempunyai makna tersendiri dan dekat dengan peminat,” ujarnya.

Malah, penganjur turut memberi perhatian khusus terhadap harga tiket agar ia mampu diakses oleh lebih ramai peminat.

“Kami pastikan harga tiket adalah antara yang paling berpatutan di pasaran, lebih-lebih lagi untuk kategori VVIP. Ini sebagai penghargaan kepada peminat yang setia menyokong Hafiz sejak awal pembabitannya dalam industri,” jelasnya.

Harga tiket konsert “Di Sebalik Aku: Hafiz Suip” adalah seperti berikut:

  • RM188 – Matahari
  • RM288 – Ku Akui
  • RM388 – Ombak Rindu
  • RM488 – Takdir Tercipta
  • RM588 – Awan Nano
  • RM788 – Bahagiamu Deritaku

Jualan tiket pra-tempahan (pre-sale) akan dibuka pada 29 Julai, jam 10 pagi, manakala jualan umum bermula pada jam 12 tengah hari pada hari yang sama.

Tiket konsert boleh dibeli melalui laman sesawang Ticketmelon. Lebih 4,000 penonton dijangka membanjiri Mega Star Arena untuk menyaksikan konsert ini yang bakal menggabungkan elemen muzik, naratif kehidupan serta persembahan vokal luar biasa daripada juara Akademi Fantasia musim ke-7 itu.

Pada konsert kali ini juga, Hafiz akan turut menampilkan penyanyi jemputan istimewa, namun buat masa ini, identitinya masih dirahsiakan bagi memberi kejutan kepada penonton.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi SAH Entertainment melalui emelhello@sahentertainment.com. – KopiPlanet.com

The post Konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip Bakal Sajikan Persembahan Emosional Menyentuh Hati appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.