Ads Top

DJ Sonic Akui Pernah Alami Kemurungan & Anxiety Serius Selepas Kehilangan Ayah Tercinta

Nama DJ Sonic mungkin sinonim dengan gelak tawa, muzik ceria dan suara yang sentiasa memeriahkan konti radio.

Namun di sebalik perwatakan yang sering menghiburkan ramai, insan bernama Awang Suffian Awang Hussein ini pernah tenggelam dalam satu fasa hitam dalam hidup iaitu saat pemergian ayah tercinta, Awang Hussin Awang Jinal, pada 29 Februari 2024.

Arwah menghembuskan nafas terakhir akibat masalah dalaman perut, dan ketika itu DJ Sonic berada di Kuala Lumpur kerana terikat dengan urusan kerja selepas menjaga ayahnya selama seminggu di hospital.

Keadaan ayahnya ketika itu tampak stabil dan dibenarkan pulang ke rumah. Namun tidak lama selepas itu, DJ Sonic menerima panggilan daripada ibunya dan dimaklumkan bahawa ayah kembali dimasukkan ke hospital.

Tanpa berlengah, beliau segera menempah penerbangan ke Kapit, Sarawak. Namun takdir mendahului segalanya. Sebaik sahaja pesawat mendarat di Sibu pada pagi itu dan telefon bimbit diaktifkan, mesej demi mesej ucapan takziah mula membanjiri skrin.

Hatinya luluh. Air mata mengalir tanpa henti dalam pesawat yang masih belum berhenti sepenuhnya. Perjalanan hampir tiga jam dari Sibu ke Kapit seterusnya menjadi detik paling pilu dan sunyi tanpa bicara, hanya ditemani tangisan dan kenangan bersama arwah.

“Waktu tu saya tak bercakap langsung dalam kereta. Saya cuma menangis. Tapi saya bersyukur kerana saya sempat sampai untuk mandikan jenazah ayah sendiri. Saya sempat peluk dia buat kali terakhir,” ujar DJ Sonic dalam nada yang masih sarat dengan emosi.

Dua minggu selepas pemergian ayahnya, DJ Sonic mengambil keputusan untuk tidak bersiaran di radio.

Menurutnya, dia tidak mampu memaksa diri untuk gembira ketika hati masih hancur.

“On air perlukan emosi yang stabil. Kita kena gembirakan pendengar. Tapi masa tu, saya sendiri pun tak gembira. Saya masih menangis, saya masih rindu,” katanya.

Kesedihan yang berlarutan tanpa diurus dengan baik akhirnya membawa kepada gangguan kesihatan. Memasuki bulan Jun dan Julai 2024, DJ Sonic mula mengalami kemurungan dan anxiety yang serius. Berat badannya susut dengan ketara, dan beliau tidak mampu bekerja selama sebulan.

Demi mencari ruang untuk sembuh, beliau pulang ke Kuching untuk dirawat dan dijaga oleh adiknya. Di sana, proses pemulihan perlahan-lahan bermula.

Namun hanya selepas hampir setahun, DJ Sonic akhirnya berjaya membuka diri untuk benar-benar melepaskan apa yang terbuku.

Pada 3 Ogos lalu, beliau berpeluang mengikuti sesi terapi dan healing bersama Dr Hisham Dzakiria, seorang figura yang terkenal dalam bidang pembangunan emosi dan mental.

Dalam sesi itu, DJ Sonic buat pertama kalinya meluahkan secara terbuka mengenai kehilangan ayahnya.

Beliau tidak mampu menahan air mata sepanjang lebih satu jam sesi berlangsung. Bukan sekadar kerinduan, tetapi juga rasa bersalah kerana tidak sempat meluangkan lebih banyak masa bersama arwah semasa hayatnya.

“Saya terlalu sibuk dengan kerja. Saya jarang telefon, jarang bertanya khabar. Bila dah tak ada, baru saya rasa betapa besarnya kehilangan tu,” katanya.

Dr Hisham dalam sesi tersebut membantu DJ Sonic melihat kembali kisah kehilangan ini dari sudut yang lebih positif.

Beliau mengajak DJ Sonic untuk berdamai dengan emosi sendiri, dan menukar rasa bersalah itu kepada satu bentuk penghargaan terhadap kenangan dan kasih sayang yang pernah wujud.

Menurut Dr Hisham, tidak salah untuk menangis, kerana itu tanda kasih yang dalam. Tetapi sebagai anak, Sonic juga harus merasa bangga kerana apa yang dilakukan hari ini, setiap lagu yang diputarkan, setiap suara yang disalurkan di udara adalah satu dedikasi kepada insan yang pernah membesarkannya.

“Saya pernah cuba putar lagu kegemaran arwah masa on air, tapi saya terus menangis. Saya belum kuat. Tapi bila doktor kata, lagu tu bukan kenangan sedih, tapi satu penghormatan, saya mula ubah fikiran. Sekarang saya cuba redha dan bersyukur kerana pernah ada ayah sebaik itu,” ujar Sonic dengan mata yang berkaca.

Kini, meskipun masih dalam proses rawatan untuk anxiety, DJ Sonic kembali melangkah hari demi hari dengan semangat yang lebih stabil.

Dia percaya bahawa healing bukan satu destinasi, tetapi satu perjalanan berterusan. Dan dalam setiap langkah itu, bayangan arwah ayah akan sentiasa bersamanya sebagai kekuatan dan cahaya. – KopiPlanet.com

The post DJ Sonic Akui Pernah Alami Kemurungan & Anxiety Serius Selepas Kehilangan Ayah Tercinta appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.