Ads Top

Drama Seadanya Kita Sentuh Perasaan, Suntik Emosi Penonton Dengan Kisah Cinta & Kekeluargaan

Viu, perkhidmatan penstriman video OTT terkemuka oleh PCCW dengan bangganya memperkenalkan drama bersiri ketujuhnya untuk tahun 2025, Seadanya Kita (Unexpectedly Yours).

Drama romantik 15 episod ini akan ditayangkan secara eksklusif bermula 7 Ogos 2025, dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.

Kisah Tentang Cinta, Keluarga dan Pertemuan Yang Mengubah Segalanya

Seadanya Kita mengisahkan Alani (Emma Maembong), seorang ibu tunggal yang sedang membina semula kehidupannya bersama anak lelaki mereka, Iqi (Mikael Noah), selepas ditinggalkan oleh suaminya, Farouq (Shahz Jaszle). Ketika hidupnya mula kembali stabil, kehadiran Farouq selepas 5 tahun, mula mengganggu ketenangan yang Alani kecapi.

Dalam masa yang sama, Alani bertemu dengan Kerol (Mierul Aiman), penyanyi rock muda yang masih bergelut dengan masa silamnya.

Apa yang bermula sebagai hubungan profesional, perlahan-lahan bertukar menjadi satu perasaan yang lebih mendalam apabila Kerol menemui ketenangan dalam keluarga kecil Alani.

Tanpa disedari, Kerol mula memainkan peranan dalam kehidupan Iqi, satu peranan yang Alani sendiri belum bersedia untuk terima.

Terperangkap antara masa lalu yang meminta peluang, masa kini yang perlu dijaga, dan masa depan yang mungkin membawa bahagia, Alani terpaksa berdepan luka lama yang disangkanya telah lama sembuh.

Barisan Pelakon Hebat & Pasukan Kreatif Berpengalaman

Seadanya Kita merupakan kolaborasi pertama antara dua bintang tersohor Malaysia, Emma Maembong dan Mierul Aiman (W: Two Worlds), yang mengemudi drama romantik ini dengan lakonan yang menyentuh hati.

Mereka turut dibantu oleh barisan pelakon berpengalaman dan berbakat seperti Shahz Jaszle, Nelissa Nizam, Ara Johari, Yasmin Hani, Anas Ridzuan dan Mikael Noah yang membawakan watak masing-masing dengan penuh penghayatan.

Diarahkan oleh pengarah prolifik, Feroz Kader dan diterbitkan oleh Global Film Station, Seadanya Kita meneruskan usaha Viu Malaysia dalam mengetengahkan naratif tempatan yang dekat di hati penonton.

Feroz kembali bekerjasama dengan Viu selepas kejayaannya mengarahkan drama bersiri Viu, Pabila Dia Tersenyum dan kini membawa sentuhannya dalam siri terbaharu ini.

Imillya Irwani Roslan, Pengarah Produksi Viu Malaysia berkata “Kami amat teruja untuk membawakan Seadanya Kita kepada para penonton. Drama ini merupakan naskhah yang sangat istimewa apabila kami dapat menampilkan gandingan pertama antara Mierul Aiman dan Emma Maembong.

Keserasian mereka melalui drama ini amat menyentuh perasaan, menjentik emosi dan kejujuran kepada sebuah kisah yang mendalam tentang cinta, keluarga dan pilihan hidup, termasuklah persoalan sama ada perbezaan usia benar-benar menjadi halangan atau sekadar persepsi manusia.”

Lagu tema rasmi Seadanya Kita“Berakhir Kita” nyanyian penyanyi Syamel, dilancarkan serentak dengan tayangan siri tersebut. Dicipta oleh Shazriq Azeman dan Omar K dari World Peace Music, balada penuh emosi ini kini boleh didapati di semua platform penstriman utama dan saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.

Ikuti kami di Facebook, Instagram, YouTube, X, dan TikTok. Muat turun Viu melalui App Store, Google Play, Huawei AppGallery, TV Pintar, atau layari www.viu.com.

The post Drama Seadanya Kita Sentuh Perasaan, Suntik Emosi Penonton Dengan Kisah Cinta & Kekeluargaan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.