Kena Buli Siber & Gangguan Seksual, Sophia Albarakbah Buat Laporan Polis
Pelakon popular, Sophia Albarakbah telah membuat satu laporan polis setelah mengalami buli siber dan gangguan seksual.
Peguam Sophia, Aizat Izuan Shakeel dari Tetuan Aizat Izuan Shakeel mengesahkan laporan polis telah dibuat berhubung siri serangan digital yang melampau, merangkumi kecaman berunsur lucah, penghinaan, ugutan, serta gangguan seksual secara terbuka.
“Insiden ini tercetus selepas beliau diumumkan sebagai pemenang kategori Selebriti Feminin Terhangat dalam program Anugerah Melodi 2025 yang disiarkan secara langsung pada 3
Ogos lalu.
“Sejak itu, anak guam kami menjadi mangsa kepada tuduhan liar dan fitnah terbuka, kononnya beliau ‘berdrama’ demi publisiti murahan, komen lucah dan menjijikkan yang bukan sahaja merendahkan martabat beliau sebagai wanita tetapi juga menormalisasi budaya gangguan seksual dalam talian serta penyebaran video parodi dan gambar dimanipulasi dengan niat untuk memperlekeh dan menjatuhkan maruah beliau secara awam.
“Akibat daripada perlakuan buli siber yang dinyatakan, anak guam kami telah mengalami tekanan emosi yang serius, keresahan berpanjangan, serta gangguan terhadap kesihatan mental dan fokus dalam kerjaya lakonan beliau,” jelasnya.
Ujar Aizat, perbuatan berkenaan bukan sahaja kejam dan tidak berperikemanusiaan, malah merupakan pelanggaran undang-undang negara sebagaimana diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998.
Sehubungan itu, pihaknya serta anak guam menyeru pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pihak-pihak yang dikenal pasti, termasuk akaun media sosial yang terlibat.
“Kami juga sedang meneliti tindakan sivil yang boleh diambil, termasuk saman malu dan injunksi terhadap pelaku dan platiorm.
Ini Bukan Sekadar Hiburan. Ini Soal Maruah.
“Isu ini melangkaui soal industri hiburan. Ini soal keselamatan wanita, maruah insan, serta kegagalan masyarakat dalam membendung budaya buli digital yang semakin berleluasa,” ujarnya.
Jelasnya, sebagai peguamcara, pihaknya tidak akan berdiam diri dan anaknya berhak mendapat perlindungan di bawah undang-undang sebagaimana setiap rakyat Malaysia yang lain.
“Kami akan memastikan beliau menerima pembelaan yang sewajarnya, bukan sahaja di mahkamah, tetapi juga di mata masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Sophia yang hadir bersama peguamnya tidak memberi sebarang ulasan lanjut dan kelihatan sebak. – KopiPlanet.com
The post Kena Buli Siber & Gangguan Seksual, Sophia Albarakbah Buat Laporan Polis appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: