Tidak Capai Sasaran, Festival Aku. Muzik & Kamu Indie 2025 Ditunda Ke Bulan November
Festival Aku. Muzik & Kamu Indie 2025 (AMK Indie 2025) secara rasmi mengumumkan perubahan tarikh ke 29 – 30 November 2025, bertempat di Sepang International Circuit.
Keputusan ini diambil kerana sambutan daripada khalayak tempatan terhadap industri muzik lokal masih rendah dan tidak mencapai sasaran yang diperlukan untuk menjayakan festival ini mengikut standard yang diharapkan.
Menurut penganjur bersama, Westzone Entertainment, situasi ini mencerminkan cabaran sebenar dalam usaha membina ruang untuk muzik tempatan, termasuk mendapatkan sokongan sewajarnya daripada orang ramai.
“AMK Indie 2025 dibina untuk meraikan muzik kita sendiri. Tetapi realitinya, sambutan terhadap inisiatif ini masih belum mencukupi. Kurangnya sokongan terhadap artis lokal memberi kesan besar kepada jualan tiket, dan akhirnya menjejaskan kelangsungan festival ini,” kata Encik Aiman, Pengarah Westzone Entertainment.
“Kami tidak batalkan. Kami hanya ubah tarikh. Sebab kami masih percaya dengan potensi muzik alternatif tempatan, dan kami tahu masih ada komuniti yang nak lihat scene ini terus hidup.
Tapi realitinya, kami berdepan dengan banyak cabaran termasuk persaingan daripada konsert berskala besar lain dan ruang promosi yang terhad. Bila tengok semula, kami tahu festival ini memerlukan lebih masa untuk capai orang yang betul, tarik sokongan yang mencukupi, dan beri pengalaman yang kami sendiri bangga nak persembahkan. Jadi kami putuskan untuk alih tarikh, bukan kerana kami menyerah, tetapi kerana kami ingin menganjurkan festival ini dengan sebaik mungkin” tambah Encik Aiman.
Walaupun festival ini berpindah ke tarikh baharu, barisan persembahan 21 band indie Malaysia kekal tidak berubah. Pihak penganjur komited untuk menjadikan AMK Indie 2025 satu pengalaman yang lebih mantap dan bermakna buat semua yang hadir pada tarikh baharu nanti.

Penukaran tarikh ini juga menyerlahkan satu hakikat yang lebih besar, bahawa penganjuran festival muzik tempatan bukan sahaja mencabar, malah hampir mustahil tanpa sokongan menyeluruh. Kesan daripada situasi ini tidak hanya dirasai oleh pihak penganjur, tetapi turut menjejaskan artis, kru produksi, dan penyedia tempat yang semuanya memainkan peranan dalam menjayakan sesebuah acara.
Namun pada akhirnya, kelangsungan hidup atau matinya sebuah festival muzik sangat bergantung kepada sokongan daripada peminat tempatan. Tanpa komitmen yang sebenar, khususnya dalam bentuk kehadiran dan pembelian tiket, usaha seperti AMK Indie 2025 tidak mampu bertahan.
Tiket yang telah dibeli akan kekal sah untuk tarikh baharu, dan versi tiket yang dikemas kini akan dikeluarkan kepada semua pembeli menjelang tarikh acara.
Sementara itu, harga tiket kekal seperti asal, serendah RM80, tanpa sebarang kenaikan. Setiap pembelian bukan sekadar akses ke festival, tetapi satu pelaburan dalam masa depan muzik alternatif Malaysia. – KopiPlanet.com
The post Tidak Capai Sasaran, Festival Aku. Muzik & Kamu Indie 2025 Ditunda Ke Bulan November appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: