Ads Top

‘Perayaan Patahati Universe’ Himpunan Penyembuhan Jiwa Bakal Tampil Penyanyi Popular

Perayaan Patahati Universe, sebuah persembahan yang merawat hati, emosi dan perasaan, mengajak orang ramai untuk healing bersama Noh Salleh dan Insomniacks di kota bersejarah ini.

Bakal berlangsung di Panggung Bangsawan Melaka, pada 23 Ogos nanti, konsert edisi sulung anjuran Patahati Universe itu tampil dengan tagline “Himpunan Warga Patahati.”

Pengarah Projek, Cassandra, berkata irama yang menyapa jiwa, merawat luka, dan merangkul setiap degup patah hati akan bergema pada konsert berdurasi hampir tiga jam itu.

“Satu dunia kini berbicara tentang isu mental health, tentang soal jiwa dan emosi. Justeru, Perayaan Patahati Universe adalah sebuah himpunan penyembuhan jiwa, dicipta sebagai pelukan hangat buat hati-hati yang pernah retak, namun masih merindui keindahan.

“Konsert ini sebagai sebuah perjalanan emosi yang puitis, di mana melodi menjadi ubat dan lirik menjadi penawar menerusi untaian pemuzik sehebat Noh Salleh dan Insomniacks. Turut ditampilkan band Cherpen dan Kucaimars, selain Rijeu sebagai opening act kelak,” katanya.

Boleh memuatkan 1,500 penonton, Panggung Bangsawan Melaka terletak di zon buffer UNESCO. Sebuah panggung wayang lama Cathay asalnya, ia diubah suai oleh Perbadanan Melaka (MCorp) pada 2024 dan dijadikan sebagai hab seni bagi persembahan live di Melaka.

Tiket Perayaan Patahati Universe boleh didapatkan pada harga RM109 (Patahati – Berdiri), RM129 (Jatuhati – Duduk) dan RM159 (Luluhati – Duduk), manakala khas bagi pasangan, RM196 saja. Pembelian boleh dibuat di ilassotickets.com

Panggung Bangsawan dan Tourism Melaka merupakan rakan strategik bagi konsert. Publisiti dikendalikan Mewah Event Management, manakala iLasso Tickets, tiket rasmi.

Gabungan artis, menurut Cassandra, termasuk bakat yang sedang mencipta nama di pentas media sosial, antaranya pempengaruh Tik Tok, Motivasi Fiq Sam, diharap meraih minat penonton, terutama golongan muda untuk hadir.

“Diiringi 25 lagu galau, patah hati dan healing, konsert akan diselang-seli pesan positif melalui tayangan drama pendek dan suara latar Motivasi Fiq Sam, selain interaksi artis semasa persembahan. Ia digarap untuk menjadi sebuah malam healing yang membawa pesan apa jua yang dihadapi bukanlah satu pengakhiran.

“Juga menarik, Sambutan Hari Lahir Istimewa Warga Patahati Universe untuk meraikan penonton yang lahir pada tarikh 23 Ogos yang akan menyempurnakan lagi himpunan keluarga besar warga Patahati Universe, menjadikan Perayaan Patahati Universe berbeza dan istimewa,” katanya.

The post ‘Perayaan Patahati Universe’ Himpunan Penyembuhan Jiwa Bakal Tampil Penyanyi Popular appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.