Bella Astillah Bakal Turut Serta Dalam Konsert Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia
Alunan suaranya sering kali menjadi igauan meski sosok tubuhnya sudah tiada. Lagu-lagu yang ditinggalkan terus menjadi kenangan berharga kepada seluruh peminat Glenn Fredly termasuklah kepada penyanyi, Bella Astillah, yang menyifatkan pemergian lelaki berkenaan sebagai satu kehilangan besar buat industri muzik Nusantara.
Menjadi salah seorang pemuja dan penimat muzik Glenn, Bella mengakui penyanyi berkenaan banyak memberikan inspirasi kepadanya sejak dahulu lagi. Rangkaian lagu-lagu yang dirakamkan, sebahagian besarnya terus diminati sehingga ke hari ini.
“Mendiang Glenn Fredly merupakan antara penyanyi kegemaran saya sejak dahulu. Sejak kecil lagi saya memang sudah mengenali sebahagian besar daripada karyanya memandangkan muzik yang dipertaruhkan juga berbeza daripada yang lain.
“Rangkaian lagu-lagu seperti Kasih Putih, Januari dan Akhir Cerita Cinta begitu diminati. Saya pasti sebahagian besar daripada kita pun memang menjadikan muzik Glenn sebagai rujukan dan menjadi kegemaran ramai,” kata Bella bercerita mengenai sosok berkenaan.
Menariknya, Bella bertuah kerana mengisi ‘line up’ terbaharu konsert Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia yang bakal berlangsung pada 18 Julai ini di Zepp Kuala Lumpur.
Selain Bella, turut serta dalam konsert ini terdiri daripada The Bakuucakar, Noh Salleh, Mutia Ayu, Rian Ekky Pradipta, Nadira Adnan, Gretchene Quirina, Matthew Sayersz dan Allan Anderson.
Untuk rekod, Nadira Adnan merupakan antara penyanyi kelahiran Malaysia yang terkenal di Indonesia. Manakala, Matthew Sayersz pula popular dengan lagu-lagu berentak R&B dan pop jazz selain banyak terlibat menerbitkan album penyanyi di sana.

Kuala Lumpur sebetulnya menjadi lokasi kedua selepas kejayaan luar biasa konsert sama yang berlangsung di Beach City International Stadium, Jakarta dua tahun lalu.
Glenn yang tampil secara holografik membuktikan bahawa kehilangan fizikal tidak mampu memadamkan cinta dan penghargaan yang mendalam terhadap legasi muzik beliau.
Kini, rakyat Malaysia pula berpeluang mengubati rindu dalam sebuah perayaan seni yang mengangkat kenangan dan jiwa dalam konsert yang berdasi selama 2 jam setengah.
Tidak sekadar acara mengingat dan mengenang sosok berkenaan, konsert ini juga akan membawa penonton menyanyi, menari, berhibur selain menikmati pengalaman baharu.
Konsert ini dibawakan oleh Premier Live Productions dengan kerjasama Matahati Sdn Bhd, menampilkan bukan sahaja teknologi canggih yang ‘menghidupkan’ semula sosok Glenn Fredly di atas pentas tetapi juga barisan artis yang pernah berkongsi cinta dan karya bersamanya.
Pastinya Bella bersyukur menjadi sebahagian daripada sejarah baharu buat industri muzik tempatan sementelah konsert holografik julung-julung kali diadakan di Malaysia.
“Ini adalah satu penghormatan besar buat saya apabila dijemput bersama-sama dalam konsert kali ini. Saya pasti teknologi yang bakal dipertaruhkan berbeza dan menjadikan konsert ini begitu istimewa.
“Pun begitu masih terlalu awal untuk saya mendedahkan apakah bentuk persembahan itu nanti kerana saya mahu mengajak semua peminat untuk sama-sama hadir dan menyaksikan sendiri persembahan kami nanti,” tambah Bella lagi.
Tidak sekadar hiburan, konsert ini menjadi penanda aras kepada sejarah muzik Asia Tenggara yang membuktikan bahawa teknologi mampu menjadi jambatan antara masa lalu dan masa kini selain mengingatkan tentang kehilangan dan sebuah penghormatan.
Menariknya beberapa promosi istimewa turut disediakan oleh pihak penganjur untuk peminat termasuklah pembelian tiket couple dengan harga RM266 sahaja.
Bagi pembelian perseorangan pula, peminat boleh menggunakan kod promosi GlennXBella, GlennXAllan atau GlennXNoh untuk mendapatkan potongan istimewa sebanyak 30 peratus!
Tiket bagi Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia boleh didapati menerusi laman web https://ift.tt/Kj6yLpJ
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti saluran media sosial rasmi penganjur di @premierlivepro, @bumientertainment, @musikbagusrecords, @glennfredlymusik, @matahatilive dan @blacksky.asia.
The post Bella Astillah Bakal Turut Serta Dalam Konsert Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: