Ads Top

Bekas Pengedar Bawal Exclusive Kalah Saman, Diarah Bayar RM70,000 Kepada Haliza Maysuri

Bekas pengedar Bawal Exclusive Sdn Bhd, Rosmaliza Mansor diarah Mahkamah Sesyen Kota Bharu untuk membayar ganti rugi sebanyak RM70,000 setelah pengasas jenama berkenaan Haliza Maysuri memfailkan saman pada 18 Oktober 2024.

Peguam Haliza, Datuk Adnan Seman yang mewakili firma guaman Adnan Sharida & Associates berkata, anak guamnya mengambil tindakan saman atas dakwaan fitnah dan kenyataan berniat jahat di media sosial yang dilakukan Rosmaliza.

“Rosmaliza Mansor adalah bekas pengedar produk syarikat Bawal Exclusive Sdn. Bhd. dan Bawal Sdn. Bhd. sejak tahun 2017 hingga 2022.

“Selepas tempoh itu tamat, pihak syarikat mengambil keputusan untuk tidak meneruskan khidmatnya sebagai pengedar produk,” kata Adnan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa satu majlis sidang media yang berlangsung pada petang tadi.

Adnan menjelaskan, syarikat berkenaan mendakwa hantaran yang dikongsikan di Facebook itu memberikan gambaran negatif.

“Kami melihat tindakannya itu telah membawa kefahaman kepada orang awam bahawa pihak syarikat telah bertindak tidak adil kepada pengedar-pengedar yang diberi kebenaran untuk menjual produk-produk syarikat, sekali gus menjejaskan reputasi yang dibina sejak 1998.

“Selain itu, Rosmaliza didapati tidak hadir  sepanjang prosiding dan pada 1 Januari 2025, dia diperintahkan untuk menurunkan kenyataan fitnah tersebut dari akaun media sosialnya serta dilarang mengulangi sebarang kenyataan sama,” katanya.

Selain tuntutan ganti rugi sebanyak RM70,000, Rosmaliza juga diarahkan membayar RM570 kepada Bawal Sdn. Bhd. atas satu invois tertunggak.

“Kami tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan reputasi anak guam kami. Kami berharap tindakan ini menjadi pengajaran agar masyarakat lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan di media sosial,” jelas Adnan.

Sementara itu, Haliza memaklumkan dia telah menghasilkan tudung bernilai RM70,000 sebagai simbolik kemenangannya itu, sekaligus membersihkan nama baik Bawal Exclusive yang dibangunkan sejak 27 tahun lalu.

“Disebabkan kami menang saman semalam saya arahkan kilang buat tudung bernilai RM70,000 yang saya pakai pada hari ini. Ia seperti tanda syukur selepas diduga dengan fitnah daripada bekas pengedar sendiri.

“Saya tidak kisah dengan tuntutan ganti rugi,  tetapi tindakan saman ini semata-mata untuk membersihkan nama baik Bawal Exclusive. Maruah saya tak boleh dibayar dengan wang ringgit,” katanya.

Tegasnya lagi, dia mahu memberikan pengajaran kepada pihak-pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah tanpa fakta sebenar.

“Selama ini saya hanya fokus kepada membina empayar perniagaan serta keluarga sendiri tanpa memikirkan hal orang lain. Saya dan suami bina jenama ini daripada menyewa bilik kecil saja.  

“Ketika itu tiada staf beratus orang, tiada modal dan pendidikan serta tiada peguam yang jaga. Bawal Exclusive dibina dengan jerit payah kami dan peluh kami. Saya nak beri amaran jangan main-main dengan jenama saya. Jangan jolok sarang tebuan. Bawal Exclusive tidak sama dengan jenama lain,” luahnya. 

Pada masa sama, orang ramai seharusnya berbangga dengan kejayaan Bawal Exclusive kerana mampu menjalinkan hubungan baik dengan syarikat dari luar negara. – KopiPlanet.com

The post Bekas Pengedar Bawal Exclusive Kalah Saman, Diarah Bayar RM70,000 Kepada Haliza Maysuri appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.