Bidaah Angkat Tema Berat Tentang Kepercayaan Agama & Konflik Keimanan
Viu, penyedia perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau milik PCCW memperkenalkan drama bersiri sempena bulan Ramadan ini, Bidaah lakonan Fattah Amin, Faizal Hussein dan Riena Diana.
Drama ini turut dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Vanidah Imran, Marisa Yasmin, Hasnul Rahmat, Fazlina Ahmad Daud, Fatiya Latiff, dan Malia Baby.
Diarahkan oleh Pali Yahya, ditulis dan diterbitkan oleh Eirma Fatima yang juga merupakan penerbit siri Viu Original Terlanjur Cinta, drama ini mengangkat tema berat tentang kepercayaan agama dan konflik antara keimanan dan kebenaran.
Drama 15 episod ini bakal menemui penonton bermula 6 Mac 2025, dengan episod baharu disiarkan pada setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.
Bidaah mengisahkan tentang Baiduri (Riena Diana), seorang wanita muda yang dipaksa oleh ibunya, Kalsum (Fazlina Ahmad Daud), untuk menyertai Jihad Ummah, sebuah kumpulan agama yang dipimpin oleh Walid Muhammad (Faizal Hussein).
Namun, Baiduri segera menyedari terdapat banyak perkara mencurigakan di sebalik ajaran rohani kumpulan itu, termasuk perkahwinan paksa dan kepatuhan yang membuta tuli. Kembalinya Hambali (Fattah Amin) dari Yaman, anak kepada orang kanan Walid, Abi Saifullah (Husnul Rahmat), membuatkan Baiduri semakin yakin bahawa ajaran Jihad Ummah telah tersasar.

Bersama Hambali, Baiduri bertekad untuk melindungi ibunya dan membongkar kebenaran, walaupun nyawanya sendiri terancam.
Dalam pada itu, sepanjang Ramadan ini, Viu sekali lagi bekerjasama dengan Aloft Kuala Lumpur Sentral bersama-sama mengedarkan bubur lambuk di beberapa stesen LRT sekitar Lembah Klang yang akan turut dihadiri oleh para pelakon drama Bidaah.
Selain itu, peminat juga berpeluang mengikuti sesi ramah mesra bersama pelakon dan memenangi baucar buka puasa di Aloft KL Sentral. Untuk maklumat lanjut mengenai tarikh dan lokasi, ikuti akaun media sosial Viu Malaysia.
Bidaah boleh ditonton di aplikasi Viu, yang tersedia untuk dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, Galeri Aplikasi Huawei dan TV pintar terpilih, serta di web www.viu.com.
Untuk mengetahui lebih lanjut, muat turun Viu di App Store atau Google Play, atau layari www.viu.com. Ikuti kami di Facebook, Instagram, YouTube, Twitter, dan TikTok. – KopiPlanet.com
The post Bidaah Angkat Tema Berat Tentang Kepercayaan Agama & Konflik Keimanan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: