Ads Top

Nadin Amizah Akui Terharu & Gembira Dapat Peluang Beraksi Di Malaysia

Penyanyi dan penulis lagu berbakat dari Indonesia, Nadin Amizah, bakal mengadakan ‘Persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur’ selepas menerima permintaan tinggi daripada peminatnya di sini.

Persembahan istimewa ini bakal diadakan pada 16 Mei 2025, jam 8 malam, di Zepp Kuala Lumpur.

Selepas kejayaan acara ‘Malam Mendengar’ di Jakarta tahun lalu, Nadin akhirnya membawa konsep istimewa ini ke pentas Malaysia, menjadikannya sebagai satu peristiwa yang wajib bagi peminatnya.

Nadin Amizah berkata, ‘Malam Mendengar’ bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah pengalaman yang dicipta untuk mendekatkan dirinya dengan penggemarnya melalui muzik dan lirik yang penuh makna.

“Saya berasa sangat gembira dan terharu, tapi pada masa sama gementar untuk memenuhi ekspektasi peminat di Malaysia,” kata Nadin yang mengakui keterujaannya dalam mempersiapkan acara ini.

Apa yang membuat persembahan ini lebih istimewa adalah susunan muziknya yang lebih segar dan berbeza daripada penampilan Nadin sebelum ini di Malaysia.

Buat pertama kali, dia akan mempersembahkan gubahan muzik orkestra, sekaligus memberikan nuansa baru kepada lagu-lagu yang sudah begitu dekat di hati peminat.

“Saya berharap peminat di Malaysia dapat meluangkan waktu untuk menonton persembahan ‘Malam Mendengar’ ini, dan juga menjadi saksi progres yang saya buat sebagai pemuzik dari pertama kali berkunjung ke Malaysia,” tambahnya lagi.

Penganjur dari Renjana Idea, Siti Azlina berkata, penganjuran ‘Persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur’ bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi sebuah pengalaman penuh emosi yang bakal menghubungkan Nadin Amizah dengan peminatnya dalam suasana lebih intim dan eksklusif.

“Kami sangat teruja dapat membawa ‘Malam Mendengar’ ke Kuala Lumpur selepas kejayaannya di Jakarta. Peminat Malaysia sudah lama menantikan peluang untuk merasai pengalaman unik ini secara langsung. Ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu perjalanan muzik yang mendalam dan penuh makna.

“Kami percaya susunan muzik baharu ini akan memberi pengalaman yang lebih istimewa kepada penonton. Ia juga menjadi peluang untuk mereka melihat perkembangan dan kematangan Nadin sebagai seorang artis,” katanya.

Nadin Amizah sememangnya bukan nama asing di Malaysia, dengan lagu-lagunya yang penuh emosi dan puitis sering menjadi siulan peminat muzik indie dan alternatif.

‘Persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur’ kali ini bukan sahaja bakal membawa perjalanan nostalgia, tetapi juga memberi ruang kepada peminat untuk menikmati keunikan karya Nadin dalam susunan yang lebih matang dan emosional.

Tiket bagi ‘Persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur’ sudah mulai dijual pada12 Februari 2025 dan boleh didapati di www.golive-asia.com

Tiket berharga Tawa (RM658); Sorak Sorai (RM258); Sorai (RM238); Kekal (RM248) dan Bunga Tidur (RM178). Tambahan RM298 bagi acara Meet & Greet. – KopiPlanet.com

The post Nadin Amizah Akui Terharu & Gembira Dapat Peluang Beraksi Di Malaysia appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.