Imaginur Cipta Kejayaan Tersendiri, Dinobatkan Sebagai Filem Terbaik FFM33
Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) akhirnya melabuhkan tirainya dengan kejayaan filem “Imaginur” merangkul anugerah Filem Terbaik.
Filem terbitan Lumatic Films Sdn. Bhd. serta arahan oleh Nik Amir Mustapha berjaya menewaskan enam lagi filem lain yang turut tercalon dalam kategori berkenaan.
Dengan kemenangan tersebut, Imaginur berjaya membawa pulang trofi FFM33 dan insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.
Selain itu, pelakon utama filem berkenaan, Beto Kusyairy juga turut memenangi anugerah bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.
Bertemakan “EMAS – Evolusi Sinema Malaysia”, FFM33 mengangkat bakat tempatan serta pencapaian filem Malaysia di peringkat antarabangsa.
Selain itu, sebanyak 28 kategori anugerah lain turut disampaikan, antaranya dokumenteri “Pekik” terbitan Stereo Pixels Sdn. Bhd. yang memenangi kategori Dokumentari Terbaik menerima wang tunai RM5,000 berserta trofi.
Sementara itu, “The Missing Trophy” terbitan Wayang Works Sdn. Bhd. diangkat sebagai Filem Pendek Terbaik yang membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi.
Malam kemuncak FFM33 juga menyaksikan pengiktirafan Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman kepada Zakaria bin Ahmad atau lebih dikenali dengan nama pentanya A. Galak serta Anugerah Khas Karyawan kepada Indera Che Muda bin Redzuan.
Kedua-dua penerima masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi sebagai penghargaan atas sumbangan besar kepada industri kreatif tanah air.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, YBrs. Encik Nik Kamaruzaman bin Nik Husin; Pengerusi FINAS, YBhg. Dato’ Kamil Othman; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib; serta barisan penaja utama iaitu U Mobile Sdn. Bhd., KNKV Group dan D’Tandoor Group of Companies. – KopiPlanet.com
The post Imaginur Cipta Kejayaan Tersendiri, Dinobatkan Sebagai Filem Terbaik FFM33 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: