Ads Top

Diana Danielle Seru Wanita Jangan Takut Dengan Stigma Buka Aib, Hentikan Minta Wanita Ditindas Bersabar

Stigma agar wanita merahsiakan masalah rumah tangga demi menjaga aib pasangan masing-masing harus dikikis di kalangan masyarakat hari ini.

Perkara itu kata pelakon Diana Danielle, 33, hanya mengakibatkan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga menjadi lebih tertekan akibat tiada saluran untuk berkongsikan masalah ditanggung.

Menurut Diana, sesetengah wanita tampil bersuara seperti dilakukan bekas model Zahnita Wilson yang berdepan isu keganasan rumah tangga baru-baru sekadar ingin menuntut keadilan.

“Mereka hanya ingin mendapatkan pembelaan serta mahu masalah mereka didengari, sebelum kejadian lebih buruk hingga mengakibatkan kehilangan nyawa berlaku.

“Masyarakat sering berpandangan wanita harus bersabar, sekalipun menjadi mangsa keganasan rumah tangga kerana yakin akan ada sinar bahagia.

“Mereka  juga sering dinasihatkan supaya perlu banyak berdoa  dengan harapan satu hari nanti suami  akan berubah, tetapi itu sepatutnya dihentikan.

“Perubahan itu perlu datang daripada individu yang melakukannya kerana kezaliman hanya akan berhenti bila si pelaku berhenti,” Diana Dainelle menerusi audio siar Kata Kita.

Audio siar Kata Kita membincangkan pelbagi topik berkaitan isu semasa.

Diana Danielle bergandingan bersama Nani Roslan selaku hos mengupas pelbagai topik isu semasa yang berlaku di dalam negara.

Pada episod pertama, Diana Danielle dan Nani Roslan mengupas tiga topik iaitu persediaan menghadapi bencana banjir, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diteruskan pada musim bajir dan menjaga aib dalam rumah tangga.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga meminta mereka yang tidak tahu hujung pangkal kemelut rumah tangga seorang supaya tidak meminta menuturkan perkataan sabar kepada mangsa.

“Masyarakat kalau tak tahu cerita, jangan hanya pandai memberikan motivasi meminta wanita bersabar atau kena fikir anak-anak.

“Kenapa kena fikirkan antara aib dengan bangkit untuk perjuangkan hak sendiri? Ramai tak faham kerana seakan ada kekeliruan di situ.

“Sepatutnnya apabila ditindas atau dizalimi, tak kiralah oleh siapa pun, kita berhak untuk bersuara. Tapi ramai yang masih tak faham.

“Masyarakat masih berpandangan apa saja cerita negatif tetang ahli keluarga atau kawan-kawan tak perlu diceritakan sedangkan orang yang jadi mangsa perlukan sokongan.

“Tapi akhirnya apa yang mereka nak luahkan terpotong di situ kerana kita masih ada stigma menjaga aib di kalangan masyarakat,” katanya.

Pada episod sama Diana turut menasihatkan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga supaya merujuk kepada pihak berkuasa serta mereka yang arif mengenai undang-undang.

Sementara itu menjawab pertanyaan Nani mengenai tindakan sesetengah artis yang suka mensensasikan kisah perceraian mereka, Diana bagaimanapun tidak menafikan hal itu.

Setiap manusia katanya ada niat berbeza dan ada yang melakukannya kerana terpaksa.

“Ada yang buat begitu mungkin sebab itu cara  untuk membuka rezeki mereka, kerana saya nampak kebanyakan wanita memang ke arah itu.

“Bila mereka sudah menjadi suri rumah terlampau lama  sanggup ketepikan ijazah dan kerjaya demi memberi perhatian kepada rumah tangga, mereka tidak lagi memiliki pendapatan.

“Jadi apabila nak bercerai mereka perlu ada strategi macam mana nak teruskan kehidupan selepas itu kerana sebelum ini mereka bergantung kepada suami.

“Kita tidak boleh tengok hanya pada permukaan kenapa mereka buat begitu tetapi kena fikirkan yang mereka juga ingin cari makan,” katanya.

Namun katanya lagi, perhatian berlebih-lebihan diberikan masyarakat terhadap selebriti yang melalui episod perceraian ada kalanya boleh memakan diri.

“Apabila timbulnya isu kontroversi, jenama dan produk mula ambil kesempatan  di kala orang sedang bercakap mengenai selebriti itu sebab mereka tahu cara itu dapat melariskan produk mereka.

“Kalau ambil selebriti sebagai duta, mungkin aliran trafik media sosial tidak setinggi dengan selebriti yang sedang panas dengan kontroversi.

“Selebriti yang terkait kontroversi pula mungkin terima tawaran datang kepada mereka sebagai salah satu cara untuk balas dendam dan ingin membuktikan mereka boleh berjaya.

“Tapi ada masanya perkara itu boleh makan diri sekiranya mereka tak tahu macam mana nak kawal situasi. Ada yang mula-mula disokong tapi lama-kelamaan orang menyampah dan nama mereka rosak. Jadi kena tahu seimbangkan keadaan,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Diana Danielle Seru Wanita Jangan Takut Dengan Stigma Buka Aib, Hentikan Minta Wanita Ditindas Bersabar appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.