Ads Top

GNI Pharma Kongsi Rezeki Bantu Golongan Asnaf Sempena Bulan Ramadan

Berpegang prinsip berkongsi rezeki pada bulan mulia mendorong GNI Pharma Sdn Bhd membawa golongan asnaf berbuka puasa di sebuah hotel mewah, baru-baru ini.

Malah, syarikat makanan tambahan itu sanggup berbelanja hampir ratusan ribu demi menyantuni golongan yang tidak bernasib baik.

Ia membabitkan kehadiran hampir 400 tetamu termasuk golongan asnaf, pendakwah terkenal dan selebriti tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Gaddafi Syed Saifuddin berkata, pihaknya mahu berkongsi rezeki dan memberi momen tidak dilupakan oleh golongan asnaf apabila diraikan dalam majlis Grand Iftar di hotel yang terletak di kawasan segi tiga emas di ibu kota.

“Kami mahu golongan asnaf rasa dihargai dan tidak terasing. Idea bawa golongan asnaf kerana mereka mungkin jarang dapat peluang makan di hotel mewah, selain bertemu lebih dekat pendakwah terkenal dan selebriti,” katanya.

GNI Pharma Sdn Bhd menganjurkan program Grand Iftar bagi meraikan golongan asnaf sekitar Lembah Klang dengan kehadiran beberapa selebriti seperti pelakon Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan suami yang juga bekas Kapten Harimau Malaysia, Zaquan Adha Abdul Razak dan pelawak Achey Bocey.

Tidak ketinggalan, para asatizah terkenal negara, antaranya Ustazah Asma’ Harun. Turut hadir, Pengarah Urusan GNI Pharma, Rahmat Hassan.

Mengulas lanjut, Syed Gaddafi memberitahu, syarikat tidak hanya menyantuni golongan asnaf pada bulan Ramadan sahaja.

Sebaliknya, katanya, mereka menjalinkan kerjasama dengan beberapa madrasah di seluruh tanah air dan konsisten memberi sumbangan setiap bulan.

“Hingga hari ini kami masih menanggung kos operasi beberapa madrasah, cuma program Grand Iftar hanya diadakan pada bulan Ramadan.

“Sebelum ini, kami bawa anak-anak yatim dan tahfiz membeli baju raya di pusat beli-belah. Insya-Allah, kami akan terus konsisten membantu kerana percaya apa yang diperoleh sebahagiannya bukan milik kita.

“Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain, jadi kenalah beri balik kepada golongan yang memerlukan,” katanya. – KopiPlanet.com

The post GNI Pharma Kongsi Rezeki Bantu Golongan Asnaf Sempena Bulan Ramadan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.