Ads Top

Akur Kontrak Ditamatkan, Kaka Azraff Akui Terkilan Dengan Alasan Diberikan Warner Music

Penyanyi popular, Kaka Azraff akur dengan keputusan syarikat Warner Music yang menamatkan kontraknya lebih awal.

Bagaimanapun, penyanyi itu mengakui berasa agak terkilan dengan alasan yang diberikan oleh pihak syarikat berhubung perkara tersebut.

“Sebagai salah seorang artis rakaman, dan di antara yang paling lama di Warner Music Malaysia saya percaya, paling kurang, saya seharusnya diberikan sebab rasmi yang menjelaskan mengapa pihak pengurusan Warner Music Malaysia memutuskan untuk menamatkan kontrak saya. 

“Saya tidaklah terkilan apabila kontrak saya ditamatkan, kerana saya percaya rezeki Alah itu luas, tapi saya terkilan kerana ia ditamatkan sedemikian rupa, secara tiba-tiba, tanpa menyatakan sebab dengan jelas atau ruang perbincangan, walaupun tempoh notis diberikan adalah selama 30 hari,” ujarnya.

Baru-baru ini, pihak Warner Music mengambil keputusan menamatkan kontrak penyanyi itu lebih awal setelah dikaitkan dengan kelantangan Kaka mengecam Israel.

Menerusi kenyataan syarikat berkenaan, antara alasan yang diberikan adalah disebabkan penggunaan bahasa tertentu dalam mesej langsung yang dipaparkan dalam talian. 

Dalam pada itu, mengenai DM yang viral, Kaka menjelaskan apa yang dihantar itu adalah peribadi dan bukan ditularkan olehnya.

“Saya menghantar DM tersebut, setelah saya menonton video propaganda Israel yang dikongsikan di dalam Instastory seorang pelakon Australia, Nathaniel Buzzolic, menggambarkan kononnya Isarel tidak bersalah, dan orang-orang di Gaza yang sengaja memilih kematian. 

“Disebabkan sifatnya sebagai Instastory dan hanya bertahan selama 24 jam, maka ia sudah tidak dapat diakses lagi untuk saya tunjukkan kepada media video yang saya komen tersebut,” jelasnya.

Mengakui mungkin pilihan kata-kata yang ditujukan itu agak keras, Kaka menyatakan ia adalah gambaran kemarahan dirinya yang menyaksikan ketidakadilan dan kekejaman yang berlaku.

“Mungkin, saya seharusya memilih kata-kata yang lebih sopan, saya tidak nafikan hal itu. But l’ve said what l’ve said, dan saya tidak ingin memandang ke belakang,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post Akur Kontrak Ditamatkan, Kaka Azraff Akui Terkilan Dengan Alasan Diberikan Warner Music appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.