Ads Top

Tidak Basuh Lebih 200 Pasang Baju Yang Pernah Dipakai Ketika Show, Aina Abdul Rancang Buka Galeri

Penyanyi Aina Abdul menyatakan dia tidak membasuh lebih 200 passant baju yang pernah dipakai ketika show sewaktu pembabitan awal dalam dunia nyanyian sehingga sekarang.

Aina berkata, dia tidak membasuh baju-baju berkenaan kerana ia mempunyai sentimentalnya yang tersendiri kerana menggambarkan perjalanan karier seninya.

“Kalau diikutkan saya ada kira-kira lebih 200 pasang baju yang pernah dipakai semasa show. Baju-baju itu hanya digunakan sekali sahaja dan saya tidak membasuhnya.

“Pada saya baju-baju ‘hidup’ dan ia memberi gambaran tentang karier saya sebagai seorang penyanyi dan disebabkan itu ia ada nilai sentimental tersendiri,” ujarnya.

Aina berkata demikian ketika ditemui semasa majlis sidang media sidang Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore yang diadakan petang semalam.

Menurut Aina, selain tidak pernah membasuh baju-baju tersebut, penyanyi itu juga merancang membuka sebuah galeri yang akan menghimpunkan semua baju-bajunya itu.

“Saya memang ada perancangan ke arah itu kerana sudah berhabis ratusan ribu ringgit untuk baju-baju tersebut. Mungkin ada juga sedikit pulangan yang saya akan terima dengan pembukaan galeri berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang konsert berkenaan, penyanyi itu memaklumkan ia kali pertama dia akan mengadakan konsert di luar negara.

Aina berkata, dia juga meluahkan rasa syukur apabila impian mengadakan konsert solo di Singapura akhirnya telah dimakbulkan.

“Akhirnya, saya akan bertemu empat mata dengan peminat di Singapura. Syukur, impian jadi kenyataan dengan kerjasama bersama Neptune Presents.

“Apa yang boleh saya janjikan, tentunya ia menjadi momen terindah buat saya dan peminat di Kota Singa. Perancangan sudah dilakukan sejak tiga bulan. Sudah tentunya ada kejutan yang bakal menanti,” katanya.

Bertempat di The Theatre at Mediacorp yang memuatkan 1,800 kapasiti penonton, Aina akan beraksi di Singapura pada 6 Januari 2024.

Konsert anjuran Neptune Presents dan Aina Abdul Entertainment selaku penganjur bersama bakal mencatat satu lagi sejarah kegemilangan buat pelantun lagu Sumpah dan Terus Hidup itu.

Aina bakal mempersembahkan 26 rangkaian lagu hits menerusi konsert berdurasi selama 2 jam 30 minit itu.

Lebih hebat, persembahannya akan diiringi 15 pemuzik profesional yang diterbangkan dari Malaysia di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Mac Chew. – KopiPlanet.com

The post Tidak Basuh Lebih 200 Pasang Baju Yang Pernah Dipakai Ketika Show, Aina Abdul Rancang Buka Galeri appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.