Ads Top

Teka-Teki Terjawab, Nas-T Bakal Galas Watak Kartun Popular Malaysia Keluang Man

Teka-teki mengenai pelakon yang akan menggalas watak sebagai Keluang Man akhirnya terjawab apabila Nas-T menjadi pilihan penerbit Astro Shaw Sdn. Bhd.

Penerbit Eksekutif Keluang Man merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad berkata, selepas Astro Shaw mengumumkan penghasilan filem Keluang Man, pelbagai reaksi positif diterima daripada peminat serta menerima liputan meluas.

“Antara yang menjadi tumpuan tentunya pemegang watak Keluang Man dan selepas menjalankan sesi uji bakat, Astro Shaw mencapai kata sepakat untuk memilih Nas Muammar Zar atau Nas-T.

“Dia menjadi pilihan kami kerana ciri-ciri dan dedikasinya yang menepati kriteria karakter dan kami percaya Nas mampu membawakan kelainan dalam menghidupkan watak animasi kegemaran ramai ini,” ujarnya.

Keluang Man merupakan siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan berjaya mencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaan Malaysia.

Menariknya, berdasarkan pencarian kata kunci di Google Trends, Keluang Man masih dicari sejak tahun 2004 sehingga kini dan diperkatakan.

Di platform TikTok, menerusi #KeluangMan telah mencatat 20 juta tontonan, manakala video berkaitan Keluang Man di YouTube menerima 8 juta tontonan.

Filem animasi berkenaan memaparkan kisah tentang seorang pesakit psikiatri yang menjadi adiwira bertopeng dalam membenteras jenayah.

Sementara itu, pengarah dan penulis skrip filem Keluang Man, Anwari Ashraf pula menjelaskan, setelah menimbang-tara lebih beratus calon termasuk pelakon berpengalaman dan bakat baru, pihaknya berpendapat bahawa Nas adalah Keluang Man yang mereka cari.

“Aura lahiriah Nas sebagai seorang individu persis dan jitu dengan jiwa Borhan, sehingga kami tidak teragak-agak memilih memegang watak sebagai Keluang Man. 

“Buat masa ini, kami masih dalam proses pra produksi. Proses penjadualan,  pencarian lokasi, dan  memapan cerita sedang berjalan. Seiring itu, proses yang paling mendebarkan bagi kami adalah proses mereka-bentuk kostum Keluang Man turut berjalan.

“Kami sedar akan tanggungjawab besar yang digalas dalam memenuhi ekspektasi peminat animasi ikonik ini;  jadi kami sentiasa berwaspada dalam melaksanakan visi kreatif kami,” ujarnya.

Filem animasi Keluang Man ini dijangka akan ditayangkan di pawagam pada tahun 2025. – KopiPlanet.com

The post Teka-Teki Terjawab, Nas-T Bakal Galas Watak Kartun Popular Malaysia Keluang Man appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.