Ads Top

PRISMA Terima Sumbangan OCBC Al-Amin Bernilai RM34,000 Menerusi Eden Firdaus

Perjuangan Pertubuhan Ibu Bapa Anak-Anak Istimewa (PRISMA) untuk memastikan keselesaan dan kesejahteraan anak-anak kini semakin mendapat perhatian pelbagai pihak.

Pengasas PRISMA, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, yang terbaru melalui Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus, PRISMA telah menerima sumbangan alat-alat pendidikan bernilai RM34,596 sumbangan OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al- Amin).

“Sejumlah 11 peralatan pembelajaran diterima dari OCBC Al-Amin Bank Berhad menerusi cawangannya di Kota Damansara.

“Antaranya termasuk Panel Interaktif Pintar, dan skrin besar 65-inci yang sememangnya lebih baik berbanding papan hitam atau papan putih biasa.

“Skrin ini lebih mudah digunakan kerana pelajar boleh menggunakan jari mereka untuk ‘meleret’ atau berinteraksi menggantikan kapur, pensel atau pen, yang lazimnya sukar digunakan disebabkan batasan pergerakan mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, satu lagi sumbangan penting yang diterima ialah Barrel Tunnel (Terowong Tong), iaitu struktur yang berkualiti, kuat dan stabil untuk membantu pelajar mengukuhkan keseimbangan, orientasi, koordinasi dan persepsi. di mana pelajar-pelajar boleh menggunakan alat ini untuk aktiviti seperti memanjat dan merangkak.

Sementara itu, beliau memaklumkan Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus yang ditubuhkan pada 2016 sentiasa berusaha menyediakan alat dan bahan sokongan pendidikan khas terbaik untuk membantu dalam proses pembelajaran pelajar-pelajar.

“Pertubuhan kami komited untuk memastikan pelajar-pelajar boleh mendapatkan khidmat penjagaan yang selayaknya diterima mereka, walaupun dalam suasana yang mencabar masa kini.

“Bagaimanapun, disebabkan sumber yang terhad, kami sering menghadapi kekangan dalam usaha kami menyediakan kelengkapan terbaik untuk menawarkan penjagaan komprehensif,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, pihaknya bersyukur dengan keprihatinan dan kesudian OCBC Al-Amin untuk menghulurkan sumbangan.

Jelasnya, peralatan itu juga akan memainkan peranan penting membantu pelajar dalam pendidikan dan pemulihan mereka.

“Saya juga amat menghargai langkah OCBC Al-Amin untuk turut mengendalikan sesi celik kewangan. Ilmu ini pasti berguna kepada kita semua dalam jangka panjang.

“Pihak PRISMA dan Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada OCBC Al-Amin terutamanya kepada Pengurus Kanan OCBC Al-Amin cawangan Kota Damansara, Norliza Kamaruddin di atas sumbangan dan keprihatinan yang ditunjukkan dalam usaha sama-sama membela nasib golongan anak-anak istimewa ini,” jelasnya.

Ujarnya, PRISMA turut menyeru supaya lebih ramai pihak korporat serta individu sama-sama berganding bahu dalam usaha murni ini. – KopiPlanet.com

The post PRISMA Terima Sumbangan OCBC Al-Amin Bernilai RM34,000 Menerusi Eden Firdaus appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.