Ads Top

“Peristiwa Puluhan Tahun Mahu Disingkatkan Kepada Lebih Sejam Bukan Mudah…” – Filem Anwar: The Untold Story Dapat Pujian Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan pujian kepada keseluruhan jalan cerita filem Anwar: The Untold Story lakonan Farid Kamil.

Beliau berkata, konteks yang diketengahkan menerusi filem berkenaan adalah benar, namun mengakui agak sukar bagi pihak produksi untuk merumuskan keseluruhan kisah yang berlaku kepada dirinya ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan pada tahun 1991.

“Saya menonton filem ini buat kali pertama dan selebihnya saya serahkan hak filem ini kepada penerbit. Pada saya filem ini bebas, kreatif dan jalan ceritanya juga ditemubual ramai orang. Malah, sinematografi filem ini juga sangat baik.

“Sudah tentu peristiwa puluhan tahun mahu disingkatkan dalam satu jam lebih pasti bukan sesuatu yang mudah. Ia hanya boleh dilakukan dengan kecekalan, kepintaran dan pengalaman pihak produksi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Isnin.

Pada masa sama, Anwar menjelaskan bahawa beliau bersifat terbuka dengan memberi ruang kepada penerbit dan pengarah filem tersebut untuk menggarap jalan cerita supaya lebih menarik untuk ditonton.

“Disebabkan ini adalah hasil seni, maka daya cipta dan kreativiti itu harus ada. Kita berikan ruang agak bebas (terhadap filem). Saya percaya dalam pembikinan hasil kreatif harus diberikan sedikit ruang kebebasan.

“Prinsip seni ini harus lebih bebas untuk memastikan kreativiti seni itu tercungkil. Sebagai orang yang diceriterakan, tentunya perasaan saya tersentuh,” jelasnya.

Anwar: The Untold Story merupakan naskah yang mengangkat kisah perjuangannya dalam arena politik tanah air sejak menjawat jawatan Menteri Kewangan pada tahun 1991.

Lebih menarik lagi, OST filem tersebut berjudul Menjaga Cintamu hasil ciptaan Andi Rianto dan lirik nukilan Sekar Ayu Asmara ini dinyanyikan oleh penyanyi kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Filem sentuhan pengarah Indonesia Viva Westi itu dibintangi pelakon terkenal seperti Farid Kamil yang memegang watak utama sebagai Anwar, Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad), pelakon Indonesia, Acha Septriasa (Wan Azizah), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Filem Anwar: The Untold Story terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran DMY Creation akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini. – KopiPlanet.com

The post “Peristiwa Puluhan Tahun Mahu Disingkatkan Kepada Lebih Sejam Bukan Mudah…” – Filem Anwar: The Untold Story Dapat Pujian Perdana Menteri appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.