Big Stage 5 Tampil Lebih Mantap, Turut Disertai Peserta Empat Buah Negara Asia
Rancangan Big Stage 5 kini kembali bersinar dengan bintang-bintang berbakat yang akan mendominasi pentas setiap malam Ahad para penonton Astro. Rancangan pertandingan nyanyian yang menampilkan bakat-bakat generasi muda ini bakal diriuhkan dengan kekuatan vokal dan saingan yang kompetitif oleh barisan pesertanya yang hebat.
Untuk edisi kali ini, ia bukan sahaja membawa peserta-peserta yang berbakat dalam bidang nyanyian tetapi turut membawa variasi dari segi karier seni mereka lantas menjadikan mereka saingan yang kuat dalam pertandingan ini dengan elemen dan genre yang baharu.
Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh berkata, antara peserta yang dipilih untuk menerajui musim kali ini mempunyai pengalaman yang extensive dalam industri seni tanah air khususnya nyanyian.
“Pemilihan mereka sejajar dengan apa yang kami inginkan iaitu memberi hiburan sepenuhnya kepada para penonton yang gemarkan rancangan nyanyian kami. Melihat kepada landskap anak muda sekarang, mereka gemarkan rancangan berunsurkan nyanyian yang kompetitif dengan pelbagai cabaran dan genre.
“Lantas, barisan peserta yang bakal merebut gelaran ‘Juara Big Stage 5’ datang daripada generasi BBNU yang berpengalaman, bijak dari segi persembahan serta multi-talented termasuk peserta berkumpulan dan duo daripada dalam dan luar negara. Dengan keterujaan ini, kami berharap ia mampu melonjakkan posisi kami sebagai platform rancangan hiburan utama rakyat Malaysia serta dalam dunia hiburan,” ujarnya.
Norzeha berkata, ada di antara mereka yang memenangi anugerah prestij, calon-calon kepada anugerah yang hebat, popular di peringkat antarabangsa, memenangi pertandingan nyanyian popular, versatil dalam bidang muzik serta penyanyi runut bunyi yang terkenal. Malah, edisi kelima ini masih memperkenalkan barisan peserta yang berbakat besar dari luar negara.
Antara yang akan bersaing dalam ‘Big Stage 5’ adalah Isaac Voo, Firdaus Rahmat, Meer Nash, Naufal Azrin, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan M-pop perempuan, COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.
Seramai sepuluh daripada mereka telah dipilih daripada Malaysia. Manakala empat bintang lain yang turut tersenarai adalah peserta daripada Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Korea Selatan yang akan diperkenalkan pada konsert minggu pertama kelak.
Dalam pada itu, buat julung kalinya, rancangan ‘Big Stage’ menampilkan peserta berkumpulan dan duo sebagai bintang yang akan bersaing bersama di atas pentas untuk memberi lebih ruang kreativiti dan versatiliti dalam setiap persembahan bagi merebut gelaran sebagai ‘Juara’ buat edisi terbaharu ini.
“Big Stage musim baharu bakal gegarkan industri muzik tanah air dengan muka-muka baharu yang bakal mengemudi rancangan tersohor negara.
“Kak Lina Pom Pom bakal menggalas tugasan hos, manakala bangku juri tetap turut dirombak dengan pengenalan Aina Abdul sebagai juri tetap. Seorang juri lagi akan diperkenalkan di konsert minggu pertama,” ujarnya.
Big Stage, sebuah rancangan pertandingan nyanyian yang didominasi oleh bakat-bakat muda kini kembali dengan edisi kelimanya, membawa generasi ‘Budak Baru Nak Up’ atau lebih dikenali sebagai ‘BBNU’ ke pentas realiti yang lebih kompetitif.
Rancangan ini amat dikenali dengan melahirkan bintang-bintang muda yang mempunyai kemahiran nyanyian luar biasa sehingga meraih perhatian di pelbagai platform media sosial mahupun dalam industri nyanyian.
Pertandingan ‘Big Stage’ telah menobatkan empat juara sepanjang penganjurannya yang terdiri daripada Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan Elica Paujin (2022). – KopiPlanet.com
The post Big Stage 5 Tampil Lebih Mantap, Turut Disertai Peserta Empat Buah Negara Asia appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: