Program Senaman & Kecergasan Berasaskan Bollywood, BollyX Workout Party Dihadiri 300 Peserta
Buat julung-julung kalinya, program senaman dan kecergasan berasaskan Bollywood, BollyX Workout Party yang dianjurkan oleh Antava Projects berlangsung gilang-gemilang malam tadi di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Selangor.
Menariknya, acara senaman yang diselitkan dengan elemen hiburan itu mendapat penyertaan luar jangkaan dengan kehadiran lebih 300 orang peserta dari sekitar Shah Alam, Lembah Klang dan negeri sekitar termasuk Terengganu.
BollyX Workout Party mendapat sokongan dari rakan digital rasmi Astro Gempak, rakan radio rasmi, Gegar serta penaja minuman rasmi, Gorilla PTL. Malah, ia turut disokong oleh penaja rasmi snek sihat, Nutasty dan rakan platform tiket atas talian rasmi, Joyfolk serta produk penjagaan diri berasaskan organik, Good Virtues & Co.
Selain itu, BollyX Workout Party turut ditaja oleh Zhoora, Sony Music Malaysia, Empire Film Solution, Universal Music Malaysia, Indigital Music, Darussalam Group of Companies, D’Herbs Holdings, Starvendors, Secret Desire, ST Rosyam Mart Shah Alam dan Ve’Era.
Lebih mengujakan, BollyX Workout Party 2023 mendapat sokongan penuh daripada komuniti BollyX Amerika Syarikat yang diterajui oleh Shahil Patel, serta komuniti negara jiran, Indonesia.
Enam jurulatih tempatan yang mendapat pengiktirafan dari Amerika Syarikat mengemudi BollyX Workout Party 2023. Mereka ialah Siti Bainun Nayodin, Dr. Nur Nazlina Mohd Hanipah, Balqis Safian, Noor Alyssa Omar Villamor dan Dr Ani Maslina Salleh.
Acara dikemudikan oleh selebriti versatil Kelly Azman yang turut mempersembahkan beberapa buah lagu. Kemudian pentas diambil alih oleh jurulatih Dr. Nur Nazlina (Dr Lina) diikuti Dr Ani Maslina (Kak Ani), Noor Alyssa (Alyssa Villamor), Siti Balqis (Cik Bal) dan diakhiri oleh duta BollyX Malaysia dan coordinator BollyX Workout Party 2023, Siti Bainun (Ben).
Duta BollyX Malaysia, Siti Bainun Nayodin berkata, BollyX masih baharu dalam kalangan masyarakat di Malaysia dan memasuki tahun baharu pasca pandemik COVID-19 pastinya ramai yang memasang azam untuk kekal sihat dan mengutamakan kesihatan diri.
“Selain diet seimbang, salah satunya mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam. Tidak memerlukan kos yang mahal, BollyX antara pilihan terbaik buat penduduk ibu kota yang sentiasa sibuk tidak mengira masa. Setiap sesi 50 hingga 60 minit BollyX dianggarkan mampu membakar kalori sehingga 800 Kcal, hampir menyamai dengan rutin larian sejauh 16 kilometer.
“Selain boleh berhibur dengan lagu-lagu rancak, melodi indah serta lirik-lirik puitis Bollywood, anda juga boleh kekal sihat dan cergas dengan melibatkan diri dalam BollyX. Seronok dan pada masa sama sihat!
“Setiap rutin dan pergerakan akan dipantau rapi oleh jurulatih yang mendapat pengiktirafan dan pensijilan berkala dari organisasi tertinggi BollyX di Amerika Syarikat demi menjamin keselamatan setiap peserta.
“Sebagai perintis kepada acara kecergasan BollyX di Malaysia, kami mahu memastikan setiap peserta yang terlibat kekal seronok dan bermotivasi untuk menjalani gaya hidup yang seimbang. Besarlah harapan kami untuk terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak pada masa akan datang agar budaya hidup sihat ini dapat dilestarikan,” ujarnya.
Siti Bainun (Ben) mendapat pengiktirafan dari BollyX Amerika Syarikat sejak 2020 dan telah mencipta koreografi untuk dua buah lagu Aaja Nachaale dan Kusu Kusu yang diguna pakai global. Ben turut terlibat dalam acara pecah rekod 24 Hours BollyX Party pada 2021 yang disertai jurulatih BollyX seluruh dunia.
Selain itu, Ben turut aktif terbabit dalam sesi coaching di sekitar Shah Alam dan Lembah Klang, sehingga kini lebih 500 buah kelas secara komersial dan persendirian telah berjaya dikendalikan oleh Ben. – KopiPlanet.com
The post Program Senaman & Kecergasan Berasaskan Bollywood, BollyX Workout Party Dihadiri 300 Peserta appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: