Ads Top

Awesome Raja Lawak Bakal Menuju Ke Kemuncak, Lima Finalis Bakal Bertarung Rebut Gelaran Juara

Setelah sembilan minggu bersiaran, program Awesome Raja Lawak kini sudahpun hampir tiba ke penghujungnya dan pentas penutup yang bakal berlangsung Rabu ini semakin dirasai apabila persiapan akhir sedang giat dijalankan.

Tahniah sekali lagi kami ucapkan kepada lima finalis yang terdiri daripada Kumpulan Se’eh, Sedare, Soda, Manja dan satu-satunya peserta solo iaiu Azhar berjaya mara ke pusingan penentuan untuk merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah tunai bernilai RM50,000.

Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, persaingan sengit di antara mereka dijangka akan menyuntik kemeriahan dan variasi berdasarkan latar belakang dan stail komedi mereka yang berlainan antara satu sama lain.

“Para peminat setia pastinya tertunggu-tunggu kejutan yang akan dipersembahkan kelak. Bukan itu sahaja, episod kemuncak juga bakal diserikan sekali lagi dengan kehadiran alumni Raja Lawak seperti Mamak, Abu Mamu, Mamat Sepah, Amir dan ramai lagi.

“Pastinya, tirai akhir ARL yang bertemakan ‘Bebas’ dan ‘Muzikal’ bakal berlabuh dengan penuh warna-warni dan kejutan yang memukau,” ujarnya.

Mengulas tentang prestasi para finalis secara keseluruhan, beliau berkata kesemua mereka berjaya menghiburkan audiens dengan corak persembahan yang matang serta pengisian komedi yang kreatif dan bijak.

Jelas beliau, walaupun masih banyak ruang yang boleh diperbaiki, namun pujian perlu diberikan kepada para peserta di atas usaha keras mereka dalam memberikan kandungan bijak yang mudah difahami, membuka minda serta bermanfaat.

“Pusingan separuh akhir yang berlangsung baru-baru ini juga telah menyaksikan para peserta tampil dengan dua persembahan yang bertemakan ‘Seram’ untuk tugasan pertama, dan ‘Superhero’ untuk tugasan kedua.

“Penampilan istimewa oleh barisan selebriti popular seperti Bella Astillah, Ruhainies, Cik B, Bell Ngasri, Fikry Ibrahim, Mejar David Teo dan Soffi Jikan untuk mengiringi sketsa para peserta juga turut memberikan kelainan yang ditunggu-tunggu oleh peminat,” ujarnya.

Dalam pada itu, dalam saingan separuh akhir yang berlangsung pada minggu lalu, nasib tidak menyebelahi Kumpulan Mabo dan Pelan apabila kedua-duanya tersingkir.

Awesome Raja Lawak bersiaran secara langsung pada setiap hari Rabu pada pukul 9.00 malam di Awesome TV, saluran Astro (123) dan MyTV (112) dan siaran ulangan pada setiap hari Ahad, 6.00 petang. – KopiPlanet.com

The post Awesome Raja Lawak Bakal Menuju Ke Kemuncak, Lima Finalis Bakal Bertarung Rebut Gelaran Juara appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.