Ads Top

Syamel Muncul Dengan Single Baharu Bahagia Milik Kita, Luahan Rasa Cinta & Fasih Sayang Terhadap Pasangan

Baharu sahaja selesai mengadakan konsert sulung bersama isteri menerusi ‘Konsert Syamel & Ernie Zakri: Aku Cinta’ bertempat di ibu negara, penyanyi lelaki popular bersuara emas tanah air, Syamel kembali dengan single romantis terbaharu berjudul Bahagia Milik Kita.

Istimewanya, ia telah dinyanyikan buat pertama kali ketika berlangsungnya konsert mereka hasil ciptaannya sendiri bersama penyanyi-penulis lagu berpengalaman, Yuka Kharisma, manakala diterbitkan oleh jenama hiburan nombor ‘syatuu’ negara, Rocketfuel Entertainment.

Ujar Syamel, single terbaharu bernuansa balada pop dalam notasi romantis ini merupakan ideanya sendiri bersama rakan artis yang juga merupakan komposer berbakat besar, Yuka Kharisma.

“Idea di sebalik pembikinan lagu ini hadir dari cetusan rasa bahagia dengan adanya peneman hidup dan zuriat dalam hidup saya. Jikalau pendengar sedar, kebanyakkan lagu-lagu saya terdahulu semuanya bernada sedih dan sangat melankolik dan Bahagia Milik Kita merupakan lagu pertama saya yang mempunyai unsur cinta serta kasih sayang.

“Maksud lagu ini pula mengenai pasangan kekasih yang sudah lama berkenalan dan sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi bahagia yang merupakan kemuncak dalam perhubungan mereka iaitu alam perkahwinan. Kini, mereka telah pun bersatu kerana segala yang ingin dicapai ada di dalam genggaman, jadi berpeganglah pada janji agar apa yang dimiliki kekal sampai bila-bila,” terang bapa kepada puteri comel, Nur Khawla Soleha.

Menceritakan lebih lanjut mengenai lagu berkenaan, Syamel memberitahu poroses rakaman single dari mula sehingga akhir mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disempurnakan.

“Lagu terbaharu ini bersama-sama lagu lain yang bakal dimuatkan dalam album nanti dicipta ketika Ernie masih lagi dalam tempoh berpantang, bayangkanlah ketika itu saya berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan kebanyakan demo dilakukan di dalam kereta ketika dalam perjalanan sehinggalah Yuka yang menemukan lagu Bahagia Milik Kita ini,” kongsi Syamel lagi.

Selain single, sebuah video muzik (MV) turut dihasilkan dan telah dilancarkan dengan konsep yang minimalis ibarat sebuah lirik video yang memaparkan emosi kegembiraan yang terpancar di wajah Syamel.

Encik Feros Sayna, selaku Ketua Rocketfuel Entertainment berkata, “Syamel merupakan seorang penyanyi dengan ‘benchmark’ yang tersendiri, kualiti vokal yang dimilikinya merupakan aset yang sangat berharga. Semoga single Bahagia Milik Kita menjadi lagu penyeri pasangan kekasih di hari bahagia mereka. 

Kata Syamel dengan penuh pengharapan: “Saya berharap agar semua yang mendengarnya dapat menerima lagu ini, semoga lagu berunsur bahagia yang jarang saya bawakan ini menjadi pilihan ‘wedding song’ pasangan pengantin di hari bersejarah mereka.

Lagu ‘Bahagia Milik Kita’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton oleh peminat secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network. – KopiPlanet.com

The post Syamel Muncul Dengan Single Baharu Bahagia Milik Kita, Luahan Rasa Cinta & Fasih Sayang Terhadap Pasangan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.