Ads Top

Dua Peserta Muncul Juara Bersama Awesome Raja Lawak #Alumni, Masing-Masing Bawa Pulang Hadiah Wang Tunai RM10,000

Program khas Awesome Raja Lawak #Alumni menyaksikan dua peserta gandingan pelawak Mamak dan Abu Mamu serta Mamat Sepah dan Amir (Amirreka) diumumkan pemenang bersama menyaksikan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, episod ketujuh itu istimewa kerana berjaya merekodkan jumlah tontonan tertinggi untuk musim ini iaitu sebanyak hampir dua juta.

“Penonton termasuk dalam kalangan netizen menyatakan hasrat masing-masing untuk melihat pembabitan lebih ramai alumni pada minggu seterusnya yang mana secara tidak langsung bertindak sebagai pembakar semangat dan sumber inspirasi kepada setiap peserta yang bertanding pada musim ini.

“ Ia terbukti apabila semua sembilan peserta yang membuat persembahan pada minggu lalu berjaya menampilkan persaingan yang sengit dan masing-masing mendapat tanda ‘3 UP’ daripada juri tetap.

“Pada episod istimewa ini, kedudukan dua peserta teratas dengan markah seri 86 peratus tidak boleh disangkal lagi. Kedua-dua pihak produksi dan barisan juri tetap yang masing-masing bertanggungjawab memegang pemarkahan sebanyak 50 peratus sebulat suara bersetuju mengangkat kedua-dua kumpulan duo ini sebagai pemenang terbaik.

“Ini juga gabungan sulung di antara Mamat dan Amir. Ternyata percaturan ini menjadi kerana ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari semua. Masing-masing turut sama teruja dengan gandingan ini,” katanya.

Lapan kumpulan alumni (duo dan trio) yang terbabit pada episod Gelanggang Awesome Raja Lawak #Alumni terdiri daripada peserta Raja Lawak musim satu hingga tujuh, Mamak, Mamat Sepah, Amir, Abu Mamu, Man Raja Lawak, Caca Dboss.

Turut terlibat sama ialah, Ilham, Wan Wala, Achok, Chot, Pak Cu, Che Mat, Faiz, Kijat Kintan, Atan Kintan, Momo Okay, Yim Okay, Ajoe Mamu dan Idlan.

Awesome Raja Lawak bersiaran secara langsung pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam di Awesome TV, saluran Astro (123) dan MyTV (112) dan siaran ulangan pada setiap hari Ahad, 6.00 petang. – KopiPlanet.com

The post Dua Peserta Muncul Juara Bersama Awesome Raja Lawak #Alumni, Masing-Masing Bawa Pulang Hadiah Wang Tunai RM10,000 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.