Kumpulan Sesah Terselamat, Saingan Minggu Kedua Awesome Raja Lawak Tiada Penyingkiran
Saingan minggu kedua Awesome Raja Lawak yang berlangsung semalam menyaksikan juara minggu pertama, Kumpulan Sesah terselamat daripada penyingkiran.
Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, persembahan minggu menyaksikan peserta mempersembahkan sketsa yang bertemakan “Viral / Trending”, yang mana mereka diperlukan untuk mengangkat isu-isu terkini dan yang pernah tular atau trending dalam persembahan mereka.
“Berbanding dengan minggu lalu, persembahan malam tadi dapat dilihat ada dalam kalangan peserta yang gementar ketika menyampaikan sketsa masing-masing.
“Mungkin juga kerana untuk minggu ini mereka mendapat tugasan yang spesifik dengan tema Viral / Trending berbanding minggu lalu dengan tema Bebas yang mana mereka dilihat berjaya menyampaikan persembahan dengan lebih bersedia dan rata-ratanya tenang,” ujarnya.
Beliau berkata, kumpulan Sesah hampir tersingkir kerana mendapat markah terendah dengan jumlah keseluruhan hanya sebanyak 42 peratus, jauh berbeza dengan kumpulan Sedare yang menjuarai persembahan di minggu kedua dengan 74 peratus.
Jelasnya, keputusan tersebut ternyata mengejutkan semua khususnya peminat kumpulan Sesah, namun barisan juri tetap iaitu Khir Rahman, Saiful Apek dan Ayda Jebat bersama pihak produksi sebulat suara membuat keputusan untuk memberi peluang kedua kepada Sesah apabila mengumumkan tiada penyingkiran untuk minggu kedua ini.
“Kejutan semalam membuktikan bahawa sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam pertandingan “Awesome Raja Lawak” ini. Anda mungkin juara pada minggu ini, namun begitu pada masa yang sama, anda juga boleh menjadi peserta tercorot pada minggu seterusnya.
“Ini yang berlaku pada malam tadi. Justeru, saya menyeru semua peserta untuk lebih bersedia dengan persembahan mereka di minggu ketiga kelak. Bertemakan “Muzikal”, satu tema yang cukup popular dan dinanti-nantikan penonton, kami mengharapkan kesemua 13 peserta lebih bersemangat, mendapatkan nasihat dan tunjur ajar dari mentor masing-masing dan memberi komitmen sepenuhnya untuk pertandingan ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan Awesome Raja Lawak yang mula bersiaran pada 7 September lalu telah berjaya merekodkan sejumlah 3 juta tontonan sehingga hari ini.
“Ini adalah permulaan yang cukup baik untuk jenama baharu Raja Lawak yang bersiaran di platform Awesome TV selepas 9 tahun tidak ke udara.
“Kolaborasi di antara Awesome TV dan Homegrown Productions in ternyata membuahkan hasil dan kami menjangkakan akan ada lebih banyak kerjasama dengan rumah produksi ini di masa akan datang,” ujarnya. – KopiPlanet.com
*Markah Penuh & Kedudukan Peserta Awesome Raja Lawak Minggu 2
1.SEDARE - 74%
2.SEMMAT - 70%
3.MANJA - 66%
4.MABO - 63%
5.HANIF - 58%
6.SE'EH - 56%
7.SODA - 56%
8.PELAN - 53%
9.AZHAR - 49%
10.KANMANI - 49%
11.KACAU - 46%
12.BEDUK - 45%
13.SESAH - 42%
The post Kumpulan Sesah Terselamat, Saingan Minggu Kedua Awesome Raja Lawak Tiada Penyingkiran appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: