Pelakon Lelaki Popular Ditahan Reman Tiga Hari Gara-Gara Belasah Penghuni Kondominium
Seorang pelakon lelaki popular ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini setelah disyaki menumbuk dan menendang seorang lelaki di sebuah kondominium di Segambut pada Khamis lalu.
Menerusi laporan BH Online, pelakon berusia pertengahan 30-an itu yang juga penghuni di kondominium sama dilaporkan telah menumbuk dan menendang seorang penduduk di kondominium sama dalam kejadian pada jam 8.30 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata, kejadian berlaku sewaktu mangsa dilaporkan meminta tolong rakannya untuk membeli minyak masak di luar kawasan kediaman berkenaan.
“Ketika rakan mangsa hendak menghantar minyak masak yang dipesan.
“Bagaimanapun, dia tidak dibenarkan masuk ke kawasan kondominium berkenaan oleh pengawal keselamatan di situ sebelum memaklumkan perkara terbabit kepada mangsa,” ujarnya.
Jelas beliau, mangsa kemudian turun ke kawasan lif lobi kondominium itu sebelum bertanya punca rakannya tidak dibenarkan masuk untuk menghantar minyak masak yang dipesan.
“Kita percaya berlakunya pertengkaran mulut antara mangsa dan pengawal keselamatan terbabit, sebelum pelakon itu yang juga suspek tiba-tiba datang dan menumbuk serta menendang mangsa.
“Mangsa mendakwa suspek menumbuk dan menendangnya di bahagian muka, dada serta perut dan belakang badan, selain mencekik dan mengugut akan membunuhnya,” katanya.
Menurut beliau, mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum Bahagian Siasatan Jenayah, Polis Daerah Sentul, memberkas suspek di kediaman sama malam semalam. – KopiPlanet.com
Kredit artikel: BH Online
The post Pelakon Lelaki Popular Ditahan Reman Tiga Hari Gara-Gara Belasah Penghuni Kondominium appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: