Ads Top

Dato Seri Vida Tampil Dengan Single Baharu Ku Ikhlaskan, Sarat Emosi Duka Lara Kehidupannya

Usahawan terkenal Datuk Seri Vida kembali diperkatakan menerusi lagu dan video muzik Ku Ikhlaskan yang dilancarkan secara rasmi pada jam 3.00 pagi tadi.

Sebelumnya Vida, atau nama sebenarnya Hasmiza Othman terlebih dahulu muncul dengan mekap pelik pada program Big Stage 2022 hingga mendapat kecaman dan kritikan dalam kalangan netizen.

Bagaimanapun, Vida yang sememangnya kalis kecaman menjelaskan penampilan itu adalah ‘teaser’ bagi video muzik lagu Ku Ikhlaskan.

Berkongsi mengenai lagu ciptaan Amy Ukays dan Dato Seri Vida serta lirik oleh Dato Seri Vida sendiri, penyanyi lagu I Am Me ini berkata, Ku Ikhlaskan bukan sekadar luahan kisah peribadi.

“Lagu ini bukan sekadar kisah peribadi, tapi sarat dengan emosi duka lara yang dialami saya. Dalam lagu ini saya mahu menyampaikan keperitan, kehilangan, kecaman bertubi yang saya hadapi selama ini. 

“Bayangkan selama ini sekecil perkara membabitkan diri saya diambil kira dan diperbesarkan hingga tular malah ada yang mencetuskan kontroversi. Pendek kata, sebesar hama pun diambil kira,” katanya.

Sama seperti lagu sebelumnya, lagu Ku Ikhlaskan yang diedarkan oleh syarikat rakaman 17 Eleven Music itu hadir dengan MV yang penuh warna, emosi, unik dan tentu saja eleman tular.

MV yang dimuat naik di saluran YouTube DSV Entertainment itu sudah mencecah lebih 180,000 tontonan dalam tempoh lapan jam (setakat kenyataan ini ditulis).

MV yang mendapat sentuhan pengarah Kel Wen itu menelan kos RM400,000 dan menjalani penggambaran selama lima hari di sekitar Kuala Lumpur dan Genting Highland.

Menurut Vida, pembikinan lagu dan MV itu  adalah satu usaha untuknya mengumpul dana bagi menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah Al Zikri Wa Zuhdie di Meru, Ipoh, Perak miliknya.

“Lagu dan MV ini sebagai saham akhirat saya dalam menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah selain ingin menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Ditambah pula kita tidak lama lagi bakal menyambut bulan Ramadan, jadi saya kira ini peluang untuk kita menambah dan mendapatkan pahala berganda sekali gus diberkati Allah SWT.

“Selepas menghayati lagu dan menonton MV ini, besar harapan agar orang ramai, peminat dan sesiapa saja dapat menderma supaya tercapai segera hasrat saham ilmu dan amal kebajikan ini,” katanya.

Bagi yang ingin membantu, sumbangan boleh dibuat ke nombor akaun 5080 2100 2954 (Maybank) atas nama DARUL TAHFIZ DS VIDA. – KopiPlanet.com

The post Dato Seri Vida Tampil Dengan Single Baharu Ku Ikhlaskan, Sarat Emosi Duka Lara Kehidupannya appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.