Ads Top

“Bagi Saya Mamat Khalid Ada Satu Saja Di Dunia” – Amen Khalid Teruskan Legasi Arwah Bapa Menerusi Filem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali

Kehilangan pengarah tersohor Allahyarham Mamat Khalid pada Oktober tahun lalu pastinya amat dirasai oleh industri hiburan tanah air.

Kini, legasi arwah diteruskan oleh salah seorang anaknya iaitu Amen Khalid yang meneruskan pembikinan filem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.

Amen berkata, ia adalah satu tanggungjawab yang sangat besar untuk menyelesaikan pembikinan filem terakhir arwah bapanya.

“Selalunya satu jam sebelum penggambaran bermula, saya akan tenangkan hati dulu sebab teringatkan arwah papa. Saya akan duduk diam dan tengok keadaan sekeliling.

“Sudah tentu saya tak sama macam arwah papa, bagi saya Mamat Khalid ada satu saja di dunia. Jadi, ia adalah satu cabaran yang sangat besar,” ujarnya.

Tidak dapat menahan sebak ketika sidang media yang berlangsung minggu lalu, namun Amen bersyukur kerana mendapat sokongan kuat daripada ahli keluarga dan barisan pelakon.

Malah, dia juga menyatakan bahawa ibunya adalah sumber kekuatan buat dirinya apabila sanggup turut ke lokasi untuk menemaninya.

Bercerita lebih lanjut mengenai pembikinan filem berkenaan apabila timbul rasa bimbang memandangkan kebanyakan barisan pelakon adalah lebih senior dan berpengalaman.

“Tidak dinafikan perasaan segan tu memang ada, misalnya dengan Aziz M Osman dan Bell Ngasri. Sampaikan nak cakap ‘action’ pun rasa segan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila semua pelakon yang membintangi filem ini banyak menyokong dan berkongsi idea sehingga filem ini berjaya dihasilkan,” jelasnya.

Filem berkenaan bermula apabila kemunculan Cik Mek dan perkara aneh di Kampong Pisang telah mengganggu seluruh penduduk Kampong Pisang. Kejadian misteri turut berlaku pada Gerhana, iaitu adik kepada Cik Purnama sehingga menarik perhatian seluruh penduduk kampung.

Dalam pada itu, Pilihan Raya Kecil diadakan di Kampong Pisang setelah kerajaan bertukar regu untuk kali ke-18 dan
penduduk kampung berbahas semasa sendiri untuk kebaikan kampung mereka.

Filem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali sudah berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 3 Mac 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. – KopiPlanet.com

The post “Bagi Saya Mamat Khalid Ada Satu Saja Di Dunia” – Amen Khalid Teruskan Legasi Arwah Bapa Menerusi Filem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.