Ads Top

Astro Shaw & Visinema Pictures Jalinkan Kerjasama Strategik Terbitkan Empat Buah Filem

Penerbit dan peneraju filem Malaysia, Astro Shaw mengumumkan kerjasama strategik bersama penerbit terkemuka dari Indonesia yang memenangi pelbagai anugerah berprestij, Visinema Pictures dalam membawakan dan menjadi penerbit bersama untuk empat filem hebat di Indonesia, Ben & Jody, Keluarga Cemara 2, Jagat Arwah dan Mencuri Raden Saleh.

Ia sekali gus mengukuhkan lagi peranan Astro Shaw selaku penerbit, pengedar dan pemasar filem terbaik Malaysia dalam mendominasi pasaran Asia.

Pada tahun lalu, Astro Shaw telah bekerjasama dengan penerbit Visinema Pictures dalam memasarkan filem genre drama kekeluargaan no 1 paling laris di Indonesia, ‘Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini’, untuk tontonan di Malaysia melalui platform Pawagam Rumah Anda, Astro First.

Ternyata Sambutan positif daripada penonton Malaysia serta menerima liputan meluas dari media tempatan, telah membuktikan filem dari negara jiran juga turut menjadi pilihan penonton tempatan dalam menikmati hiburan filem. Lanjutan daripada kerjasama baik Astro Shaw dan Visinema Pictures, ia telah membawa kedua-dua penerbit terkemuka serantau itu ke tahap seterusnya untuk meneroka lebih banyak peluang kolaborasi yang mampan.

Selain mencipta kejayaan besar menerusi filem ‘Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini’ sebagai Top 2 Filem Tempatan Paling Laris di Indonesia tahun 2020, deretan filem lain terbitan Visinema Pictures juga turut melakar fenomema tersendiri seperti ‘Cahaya dari Timur: Beta Maluku’ (2014), ‘Filosofi Kopi’ (2015), ‘Surat Dari Praha’ (2016), ‘Filosofi Kopi 2: Ben & Jody’ (2017), ‘Love For Sale’ (2018), Keluarga Cemara (2019), adaptasi daripada webtoon popular Indonesia, ‘Terlalu Tampan’ (2019) dan banyak lagi.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro Shaw rasa berbesar hati apabila dilihat sebagai penerbit filem utama di Malaysia yang mampu meyakinkan pengkarya dari negara luar untuk jalin hubungan kerjasama dan meneroka potensi yang lebih besar.

“Kami berbangga dapat menjalin kerjasama strategik sekali lagi bersama Visinema Pictures dalam memperkukuhkan jenama kedua-dua penerbit di peringkat global. Dengan berkongsi objektif yang sama, kerjasama ini melambangkan kesungguhan kedua-dua belah pihak untuk memperkasa hasil filem Asia.

“Kolaborasi ini juga dilihat menjadi platform sempurna buat Astro Shaw dalam mempamerkan kredibiliti dalam menyediakan platform terbaik untuk mengedar dan memasarkan filem dari negara luar, di samping konsisten dengan komitmen berterusan dalam mempersembahkan filem-filem berkualiti kepada penonton Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, menerusi gabungan mega ini, Astro Shaw berhasrat agar mampu meningkatkan lagi kualiti hiburan filem buat penonton Malaysia.

Jelas beliau, ketika ini Astro Shaw terkenal dengan pendekatan inovatif dalam mengetengahkan cerita segar yang menyentuh hati penonton, serta berjaya mencipta fenomena tersendiri dengan mengungguli carta filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di Malaysia melalui filem-filem terbaiknya iaitu Hantu Kak Limah, Polis Evo 2, Paskal, Abang Long Fadil 2, Pusaka, Sangkar dan banyak lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Visinema Pictures, Angga Dwimas Sasongko memberitahu bahawa pihaknya berasa sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Astro Shaw, salah satu penerbit terbesar dan terbaik di Malaysia.

“Kerjasama ini dilihat sebagai salah satu usaha kami untuk memperkenalkan filem-filem yang dihasilkan oleh Visinema serta Indonesia kepada penonton antarabangsa. Saya berharap kolaborasi strategik Visinema dan Astro Shaw ini mampu memberi impak serta sekali gus meluaskan industri filem serantau ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.

*BEN & JODY

BEN & JODY adalah filem sekuel ketiga daripada francais ‘Filosofi Kopi’. Filem ini telah pun ditayangkan di bioskop seluruh Indonesia sejak 27 Januari lalu dan mendapat reaksi positif daripada penonton. Kali ini filem tersebut tampil dengan genre berbeza iaitu aksi, thriller, komedi dan masih mengekalkan teraju utama Chicco Jerikho dan Rio Dewanto di samping barisan pelakon terkenal di peringkat antarabangsa Yayan Ruhian, Luna Maya, Rio Dewanto, Chicco Jerikho dan ramai lagi. Ia mengisahkan tentang dua sahabat baik terperangkap dalam tahanan pembalakan haram. Mereka cuba melepaskan diri dan dalam pada masa yang sama ketulusan persahabatan mereka diuji.

*JAGAT ARWAH

JAGAT ARWAH adalah sebuah filem seram, pengembaraan fantasi yang mengangkat elemen hubungan ayah, anak, persahabatan serta aksi. Raga ingin berhijrah bagi mengejar impian untuk menjadi pemuzik bersama rakan-rakannya. Tetapi ayahnya, Sukmo meninggal dunia dalam keadaan tragis. Kemudian Raga mendapat tahu keluarganya adalah berketurunan lagenda dan penjaga kepada Batu Jagat, batu yang mempunyai kuasa dan akan mengudang bahaya jika jatuh ke tangan pihak yang salah. Membariskan bintang muda Ari Irham, pelakon popular Cinta Laura, Oka Antara, Sheila Dara, Kiki Narendra dan Ganindra Bimo.

*KELUARGA CEMARA 2

KELUARGA CEMARA 2 adalah skuel kepada Keluarga Cemara. Masih mengekalkan barisan pelakon utama seperti pelakon popular Nirina Zubir, Ringgo Agus Rahman, Adhisty Zara, Widuri Puteri, Asri Welas dan Abdurrahman Arif. Kali ini kisahnya memaparkan keluarga Cemara melalui liku-liku cabaran kehidupan selepas wabak pandemik. Cemara tidak mendapat perhatian daripada keluarga dan memulakan penggembaraan bersama ‘ayam neon’ dan cuba meyakinkan semua orang bahawa dia boleh berkomunikasi dengan ayam.

*MENCURI RADEN SALEH

MENCURI RADEN SALEH yang mengisahkan 6 pelajar kolej yang mempunyai kepakaran berbeza, merancang untuk mencuri lukisan Raden Saleh atas arahan bekas presiden Indonesia, Permadi dengan ganjaran yang lumayan. Namun Permadi telah mengkhianati mereka dan mengakibatkan mereka diburu. Mereka merancang untuk mencuri semula lukisan tersebut daripada orang yang sangat berpengaruh di Indonesia. Filem genre heist action ini membariskan pelakon box office Iqbaal Ramadhan, Angga Yunanda, Rachel Amanda, Aghniny Haque, Umay Shahab dan Ari Irham.

The post Astro Shaw & Visinema Pictures Jalinkan Kerjasama Strategik Terbitkan Empat Buah Filem appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.