Ads Top

Asheed Kini Muncul Dengan Single Baharu Baling, Berkisar Tentang Senario Industri Muzik

Pada pertengahan tahun lalu, Asheed Def Gab C, tampil dengan single berentak perlahan berjudul Milik Kita terbitan Rock Stage Entertainment (RSE).

Lagu yang dihasilkan Rief SW dan lirik Talib RSE itu telah didedikasikan kepada semua petugas barisan hadapan yang mempertahankan nyawa demi negara.

Kini, Asheed tampil lagi dengan single berjudul Baling yang kembali menonjolkan identitinya ketika bersama Def Gab C sebelum ini.

“Alhamdulillah, sekali lagi Rief SW bergandingan dengan Talib RSF sebagai pencipta dan penulis lirik lagu ini. Ia merupakan kesinambungan kepada kolaborasi kedua saya dengan RSE selepas Milik Kita yang mendapat sambutan positif daripada peminat.

“Sudah tentu saya gembira dapat bekerja dengan Rief SW dan Talib serta barisan pemuzik profesional yang terbabit dalam lagu ini iaitu Mus Satira (gitar), Yan Lefthanded (bass), Bakri Gerhana Ska (drum) dan Aman Keys Farasu (keyboard dan perkusi),” ujarnya.

Asheed atau pemilik nama sebenar Mohd Ashid Ahmad berkata, Baling sememangnya memberi makna tersendiri kepadanya sebagai tempat kelahirannya di Kedah.

Namun begitu, penyanyi berkenaan menjelaskan dalam konteks lagu berkenaan, Baling diilhamkan dari senario industri muzik tanahair secara sinikal.

“Ia berkaitan kritik sosial terhadap sikap manusia. Macam kata pepatah Melayu, satu jari kita menuding ke arah orang, empat, lima orang akan menuding ke arah kita semula. Inilah sikap orang. Dah terkena baru nak tergadah dan berubah,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai lagu tersebut, Asheed berkata selepas mendengar demo lagu berkenaan, dia berminat membawa lagu Baling kerana iramanya seiras lagu-lagu rock ‘Santana’.

“Genre ini dah jarang dibawa oleh mana-mana artis pada dekad ini. Respon peminat selepas seminggu dimuatkan di YouTube RSE sangat baik. Mereka kata lagu ini agak berlainan dan ada karakter sendiri. Orang dengar sekali pun dah tahu lagu nyanyian saya. Sebenarnya ia tak meniru Santana sangat.

“Kami bukan nak suruh orang bandingkan dengan Santana. Bila saya dapat lagu ini, dalam kepala saya dari awal hingga habis keseluruhan dah tahu macamana nak buat. Jadinya muzik Santana hanya sebagai penambahan untuk sedapkan lagu ini. Peminat Def Gab C menantikan lagu ini dan minta saya kembali bersatu dengan anggota lain,” katanya.

Selain YouTube RSE, lagu Baling kini berada di semua digital platform seperti Joox, Spotify, Itunes, Deezer, KKbox dan juga Apple Music. – KopiPlanet.com

The post Asheed Kini Muncul Dengan Single Baharu Baling, Berkisar Tentang Senario Industri Muzik appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.