Ads Top

Acara Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner Capai Matlamat, Sumbangan Akan Diagihkan Kepada Golongan Memerlukan

Acara Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner yang berlangsung pada 19 Februari lalu telah mencapai matlamat apabila meja-meja yang dijual telah terisi penuh.

Ternyata acara anjuran The H Entertainment dalam memberikan sebuah hiburan berbentuk amal buat para peminat Misha Omar khususnya disambut dengan baik oleh golongan korporat, para selebriti serta orang perseorangan. Meja yang dijual dengan harga-harga  dari RM300 hingga RM700 berjaya dijual.

Lebih istimewa lagi, ia turut dihadiri oleh YAM Sharifah Khatreena Nuraniah binti Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail , puteri sulung kepada Raja Muda Perlis serta Datuk Seri Haji Ismail bin Hj Abd Muttalib yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Pengarah Urusan The H Entertainment iaitu Norazirah Abdul Talip berkata, segala kutipan yang dibuat akan dibahagikan kepada pihak yang memerlukan seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Pembahagian untuk sumbangan kepada PAPITA dan PERSEDIM serta golongan yang memerlukan adalah sebanyak lima hingga ke 10 peratus selepas ditolak semua harga kos.

“Dalam bulan Ramadan ini, pihak kami akan membuat program CSR bagi infak Ramadan. Jumlah sumbangan ini akan diberikan kelak kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Terdahulu sewaktu sidang media diadakan di lokasi yang sama, The H Entertainment telah menyatakan bahawa  tujuan utama program amal ini ialah untuk mengutip dana bagi membuat sumbangan kepada  beberapa Yayasan Kebajikan yang memerlukan dan.

Ia bagi meneruskan program-program kebajikan antaranya untuk membolehkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik,  kebajikan anak-anak yatim, bantuan kemasyarakatan dan juga modal insan.  Sumbangan dan dana akan disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Semerah Padi (PERSEDIM). 

Dalam pada itu, sumbangan dan dana juga turut diberikan kepada pihak Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) dengan bantuan presidennya, Datuk Malek Ridzuan untuk diagihkan kepada anak-anak seni yang memerlukan.

Pada acara yang berlangsung, ia dimulakan dengan persembahan bakat baru, Zarol Zarif yang membawakan lagu Anuar Zain serta turut memperkenalkan lagu baharunya yang kini sedang mendapat sambutan baik dari pendengar yang bertajuk Kan Kan. 

Lebih menarik lagi, Dafi yang sudah lama agak hilang dari radar dunia nyanyian muncul dengan lagunya Bila Terasa Rindu dan mengubati kerinduan peminat yang sudah lama tidak menyaksikan dan mendengar nyanyiannya. 

Kemudian, acara yang ditunggu-tunggu tiba apabila penyanyi bersuara enak muncul dengan persalinan serba hitam dan bergunci rona merah menyala. Misha Omar memulakan acara dengan lagu Sembunyi yang disulam dengan lagu Dedebu Cinta.

Vokal bertenaga Misha dengan diiringi oleh pemuzik professional tanah air di bawah pimpinan Szewan meneruskan acara dengan lagu Tanpa Rela dengan diikuti dengan bariskan lagu medley Whitney Houston iaitu Run To You, I Have Nothing dan One Moment In Time. 

Misha kemudian mengembalikan ingatan penonton terhadap lagu-lagu runut bunyi nyanyiannya iaitu Pulangkan dan Ku Seru. 

Celoteh Misha yang manja dan lucu membuatkan penonton sentiasa tersenyum bersulam ketawa-ketawa sepanjang persembahan yang diadakan. 

Misha kemudian memilih untuk menyanyikan lagu saduran lagi dan kali ini memilih lagu-lagu Allahyarhamah Sharifah Aini untuk dipersembahkan kepada khalayak. Malah Misha sempat memberi ‘trek bonus’ kepada khalayak dengan membawakan lagu Dato Sri Siti Nurhaliza iaitu Percayalah.

Sebelum mengakhiri malam yang penuh bermakna tersebut, persembahan diteruskan dengan lagu berhantu Misha iaitu Sampai Bila, diikuti dengan rangkaian lagu medley iaitu Halaman Cinta, Semoga Abadi dan Cinta Adam dan Hawa. 

Tidak sah kiranya jika lagu yang telah mempopularkan Misha Omar ke persada seni serta tajuk lagu yang diangkat sebagai judul malam amal The H Entertainment ini tidak dinyanyikan. 

Selepas mendapat pekikan kuat dari penonton yang tidak puas dengan persembahannya, Misha kemudian muncul dengan lagu Bunga-Bunga Cinta bagi mengakhiri persembahan. – KopiPlanet.com

The post Acara Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner Capai Matlamat, Sumbangan Akan Diagihkan Kepada Golongan Memerlukan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.